Partime Job

Thursday 22 March 2012

Juru kimpal kempunan ‘wang tambahan’


KUALA TERENGGANU- Hasrat seorang juru kimpal untuk mendapatkan ‘wang tambahan’ secara mudah dengan menjual barang keperluan yang dicuri di Pasaraya Mydin Mall di Jalan Sultan Mohamad, di sini, tidak kesampaian setelah dia ditahan oleh kakitangan bahagian keselamatan pasar raya berkenaan.

Bukan sahaja terpaksa berputih mata, malah tertuduh, Nazaruddin Alias, 47, dari Kampung Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, di sini, yang berjaya dicekup di tempat meletak motosikal di pasar raya terbabit turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, dia yang masih bujang itu dijatuhi hukuman penjara selama seminggu dan didenda RM2,000 oleh Majistret Noradila Ab Latif.

Noradila menjatuhkan huku-man terbabit selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri tiga bungkus Milo, satu Mortein Liquid, satu Ridsect Liquid, satu karton krimer manis Dairi Camp yang mengandungi 48 tin dan satu karton krimer manis Tea Pot yang mengandungi 48 tin milik Pasar raya Mydin Mall kira-kira jam 2.14 petang, pada 18 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh yang mengakui semasa kejadian dia dalam pengaruh pil itu mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Noradila turut mengarahkan agar tertuduh dipenjarakan selama sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh Ibrahim Mat Piah, 33, yang sedang bertugas di pasar raya berkenaan di tempat meletak motosikal kira-kira jam 2.14 petang pada 18 Mac lalu.

Tertuduh ditahan kerana disyaki mengeluarkan barang tanpa membuat pembayaran selepas Ibrahim dimaklumkan tertuduh melarikan diri dengan meninggalkan barang di pintu.

Hasil pemeriksaan, barang yang dibawa keluar iaitu tiga bungkus Milo, satu Mortein Liquid, satu Ridsect Liquid, satu karton krimer manis Dairi Camp yang mengandungi 48 tin dan satu karton krimer manis Tea Pot yang mengandungi 48 tin susu bernilai RM365.03 itu tidak mempunyai resit pembayaran.

Tertuduh kemudian dibawa ke bilik rakaman kamera litar tertutup bersama barang yang ditinggalkan sebelum diserahkan kepada Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut

sumber : sinarharian

No comments: