Partime Job

Thursday 22 March 2012

Ibu bapa perlu beri perhatian serius


KOTA TINGGI - Ibu bapa perlu mengambil perhatian yang serius terutamanya dalam mendidik anak-anak agar generasi akan datang hidup dalam berteraskan Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Ha­mimah Mansor berkata, hing­ga kini pelbagai usaha dilakukan kerajaan terutama dalam pembangunan di Johor yang lebih memfokuskan kepada pembinaan keluarga dan sahsiah.

“Di Johor pelbagai program diatur kerajaan dalam memastikan generasi akan datang hidup berteraskan agama. Namun, ibu bapa perlulah sama memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu bermanfaat yang diperoleh kepada anak dan cucu agar ianya dapat berkembang dan seterusnya membina generasi yang bersahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­­tika berucap merasmikan Pro­­gram Mesra Sakinah Ber­sama Pemimpin Dewan Un­dangan Negeri (Dun) Penawar, di Dewan Perdana Putra Felda Air Tawar 4, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, penduduk khususnya warga peneroka mestilah sedar penyenaraian Felda Global Ven­tures Holdings (FGVH) ke bursa saham adalah langkah yang membawa ke arah kebaikan.

“Apa yang dilakukan kerajaan ini adalah untuk kebaikan berpanjangan. Malah setiap tanah milik peneroka tidak akan dipajakkan jika Felda disenaraikan dalam bursa saham,” katanya yang turut menasihati agar penduduk tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah luar yang mahu memesongkan Islam.

Hadir sama, Pegawai Tad­bir Yayasan Pembangunan Ke­luarga (YPK) Daerah Kota Tinggi; Norazmi Othman dan Ketua Kampung Felda Air Tawar 4, Abdullah Bedu.

Pada majlis sama Ha­mi­mah turut menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang bagi pertandingan yang diadakan dan turut menyampaikan sum­bangan barangan keperluan harian kepada lima ibu tunggal terpilih.

Selain itu, beliau dan kepimpinan setempat mengadakan lawatan kunjungan mesra sakinah ke lima rumah penduduk yang menghidap penyakit kronik bagi menyampaikan bantuan.

Program anjuran YPK itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti buat penduduk, antaranya senaman J-Robik, pertandingan gubahan, mewarna, sukaneka dan pelbagai lagi.

sumber : sinarharian

No comments: