Partime Job

Thursday 22 March 2012

Penantian 17 tahun ibu tunggal berakhir


BENUT - Penantian selama 17 tahun seorang ibu tunggal di Parit Haji Ahmad Benut, dekat sini, bagi mendapatkan sambungan bekalan air ke rumah, akhirnya berjaya ditunaikan.

Masalahnya mendapat perhatian Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut yang telah menguruskan kerja-kerja pemasangan bekalan air bersih bersama Syarikat Air Johor (SAJ), ke rumahnya di sini, petang semalam.

Noryati Misron berkata, dia amat bersyukur dan gembira apabila penantiannya untuk menikmati air bersih akhirnya tertunai.

Dia yang tinggal bersama lima anaknya yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun berkata, sebelum ini mereka sekeluarga mendapatkan bekalan air bersih dari rumah kakaknya yang terletak bersebelahan rumahnya.

“Selama 17 tahun saya bergantung kepada kakak untuk mendapatkan air bersih dari paip air yang disambung ke rumahnya. Oleh itu, masalah tekanan air yang rendah terpaksa kami kami hadapi memandangkan kami berkongsi bekalan air,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas pemasangan bekalan air bersih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad, disini, petang semalam.

Hadir sama Ketua Agensi SAJ Cawangan Pontian, Ajis Tukiran dan Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zulkifli Tubee.

Noryati berkata, dengan pendapatan sebagai pembantu kedai makan di Pekan Sanglang Benut, dan tanggungan yang besar untuk membesarkan anak-anak, menyebabkan dia tidak mampu untuk membuat penyambungan bekalan paip air sendiri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu keluarga kami termasuk SAJ Daerah Pontian,” katanya.

Sementara itu, Adun Kawasan Benut, Hasni berkata, pihaknya akan turut membantu keluarga Noryati untuk mendapatkan sambungan bekalan elektrik sendiri.

Jelasnya, sambungan bekalan elektrik di rumah Noryati juga disambung dari rumah kakaknya yang sekaligus boleh menyebabkan risiko kebakaran memandangkan penyambunganya dibuat sendiri.

sumber : sinarharian

No comments: