Partime Job

Monday 26 March 2012

Harga rajin RM10,000

JITRA: Ditinggalkan suami yang berkahwin lain serta terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga parah adalah antara dugaan dihadapi peminjam atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Rose Sita Kasim, 48, ketika sedang bertungkus-lumus memajukan perniagaan butik pengantin miliknya di sini sejak 1990.

Rose berkata, kejadian itu adalah dugaan paling besar buatnya sepanjang dia membabitkan diri dalam bidang perniagaan selepas berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang pada 1985. “Pada 2000, suami berkahwin lain dan meninggalkan saya dalam keadaan digantung tidak bertali bersama tiga anak kami. Lebih malang lagi, wang simpanan sebanyak RM21,000 dan sebuah kereta turut dibawa suami tanpa pengetahuan saya,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.


Katanya, pada Jun 2006, dia sekali lagi ditimpa malang apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya. Rose yang menunggang motosikal dirempuh sebuah kereta dalam kejadian berhampiran rumahnya di Permatang Bongor, di sini menyebabkan kaki kiri patah dan rahangnya terkoyak hingga terpaksa dimasukkan besi.

“Saya terlantar lebih sebulan dan tidak boleh melakukan apa-apa kerja. Perniagaan terganggu, tetapi mujur rakan banyak membantu. Pada September tahun sama, malang lagi buat saya apabila saya akhirnya bercerai selepas digantung tidak bertali hampir enam tahun,” katanya.


Ibu tunggal kepada tiga anak ini berkata, semua itu bukanlah halangan untuk dia berjaya dalam perniagaan. Walaupun terpaksa meneruskan perniagaan berseorangan, dia tetap tabah selain mendapat banyak sokongan daripada AIM, anak serta rakan.

Berbanding gaji sebanyak RM280 sebagai pekerja kilang, Rose kini memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan selain mempunyai seramai 12 pekerja.


Rose berkata, keputusannya menyertai AIM selepas diperkenalkan seorang rakan pada 1991 adalah tepat kerana badan amanah itu jelas banyak membantunya meluaskan perniagaan.

“Masuk AIM ini mudah dapat pinjaman. Nak jual pisang goreng pun boleh pinjam AIM. Pembantu Amanah dari AIM di tempat saya banyak membantu hingga saya mampu menguruskan perniagaan dengan baik,” katanya.


Menceritakan mengenai sejarah perniagaannya, Rose berkata, selepas mendapat anak sulung pada 1985, dia berhenti kerja kilang dan pulang ke Kampung Lana Bulu, di sini kerana mahu menjaga anak. Dia bersama bekas suami kemudian membuka kedai makan selain berniaga makanan di pasar malam.


“Waktu itu agak sukar, selain terpaksa membawa anak ketika berniaga kerana tidak mampu mengupah pengasuh, saya terpaksa meminjam along RM1,000. “Saya perlu membayar RM13 sehari untuk pinjaman along. Memang tiada masalah daripada segi pembayaran, tetapi saya tertekan untuk membayarnya. Saya pula tiada harta, tiada tanah, rumah dan kereta pun tidak ada. Hanya perniagaan yang diusahakan harta saya waktu itu,” katanya.


Selepas menjadi Sahabat AIM, Rose membuat pinjaman sebanyak RM500 menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) pada 1994 untuk perniagaan makanannya. Pada masa sama, dia turut menjalankan perniagaan jahitan pakaian.


Rose kini membuat pinjaman RM50,000 menerusi pembiayaan I-Wawasan AIM bagi membesarkan butik pengantin Permata Nabila Huda termasuk mengadakan perkhidmatan mencetak kad jemputan kahwin.


Kini selepas 27 tahun, wanita ini berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan. Bermula tanpa sebarang harta ketika bekerja di kilang, Rose berjaya memiliki tiga rumah termasuk kenderaan yang semuanya dibeli hasil perniagaan dengan bantuan AIM.

sumber : mymetro
Kini, butik pengantin Permata Nabila Huda miliknya itu yang menyediakan khidmat pakej perkahwinan semakin dikenali di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

No comments: