Partime Job

Monday 26 March 2012

Dua suspek didakwa hari ini

JOHOR BAHRU: Dua suspek utama kes pembunuhan kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang pada 1 Mac lalu, dijangka dituduh di mahkamah, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff bagaimanapun enggan mengulas berkaitan nasib seorang lagi suspek, sama ada dia akan turut didakwa atau dibebaskan.


“Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada 1 Mac lalu iaitu pada hari sama Dirang dilaporkan hilang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

“Seorang lagi suspek didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana penyalahgunaan dadah,” katanya.


Mokhtar ditemui pada majlis Perhimpunan dan Melafaz Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di kawasan tempat letak kereta Pasaraya Maslee, Setia Indah di sini.


“Saya bangga dengan kecekapan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor yang komited dalam menjalankan siasatan berkaitan kes pembunuhan kejam ini hingga membolehkannya diselesaikan diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.


Menurut Mokhtar, kes pembunuhan Dirang dianggap selesai selepas suspek didakwa di mahkamah dan ia sekali gus diharap mampu memberi keadilan kepada keluarga mangsa.


“Suspek akan digantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan dan ia diharap memberi pengajaran kepada penjenayah yang ligat melakukan jenayah.

“Jangan sesekali terfikir dengan membakar mayat mangsa ia dapat menghapuskan bukti,” katanya.


Dirang disahkan mati dibunuh sebelum dibakar selepas ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai pada 8 Mac lalu mendapati ia sepadan DNA ibunya, Roselyn Alan, 25.


Tiga suspek membabitkan sepasang kekasih dan seorang lelaki ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan, Handry Yongot, yang berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.


Namun, pada 16 Mac lalu, Handry disahkan tiada kaitan dengan pembunuhan kejam itu dan dihantar pulang ke negara asalnya, Filipina kerana tidak mempunyai dokumen sah.


Terbaru, pada Jumaat lalu, ketiga-tiga suspek utama disambung reman sehingga 30 Mac ini bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

sumber : mymetro

No comments: