IPOH: Bermula dengan perniagaan menjahit secara kecil-kecilan di rumah kira-kira 20 tahun lalu, Siti Rahmah Ab Wahab, 47, kini bergelar tauke restoran dengan 15 pekerja.
Restoran Ayam Golek Manjoi dengan menu utama nasi ayam golek Manjoi yang terletak di Jalan Yang Kalsom, di sini dan dibuka sejak lebih setahun lalu itu semakin mendapat sambutan penduduk bandar raya ini.
Selain restoran yang beroperasi 24 jam, Siti Rahmah juga mempunyai empat warung menjual ayam golek di sekitar bandar raya Manjoi, Kuala Pari, Taman Perpaduan serta satu di Batu Gajah.
Siti Rahmah berkata, ketika mula-mula terbabit dalam bidang perniagaan dengan membuka kedai jahit di Sungai Siput, dia tidak terfikir langsung untuk membuka restoran.
Katanya, ia adalah idea suaminya, Mahmood Mat, 54, untuk mengembangkan perniagaan dan menambah pendapatan selepas membuka kedai jahit.
“Saya mula membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM1,000 pada 2001 untuk membuka kedai jahit di Sungai Siput.
“Enam bulan kemudian saya menambah pinjaman sebanyak RM3,000 untuk besarkan kedai. Pada masa sama saya mula mengusahakan perniagaan ayam golek, tetapi hanya membuka warung di tepi jalan,” katanya.
Siti Rahmah yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, berkata, dia memilih untuk menjual ayam golek selepas mendapat tunjuk ajar daripada kakaknya yang mahir dengan resipi itu.
“Saya masak sendiri dan ia resipi dari Chiang Mai, Thailand. Kakak yang memberi resipi itu kepada saya,” kata ibu kepada empat anak ini.
Beliau berkata, hasil bantuan AIM perniagaannya semakin berjaya dan hasilnya dia mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM8,000 sebulan selain dapat menabung RM500 sehari.
“Pinjaman AIM mudah kerana tidak perlukan cagaran dan penjamin. Apa yang penting kita tidak melanggar syarat pembayaran balik dan berdisiplin terutama dalam menghadiri Mesyuarat Pusat setiap minggu,” katanya.
sumber : mymetro
No comments:
Post a Comment