KOTA BHARU: Tindakan berani seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menyelamatkan tiga adiknya ketika kediaman mereka terbakar pada 6 Mac lalu mendapat penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan apabila dianugerahkan sijil dan dilantik sebagai duta kecil.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi di Kampung Kelar, Pasir Mas, wira cilik itu, Zoel Hamka Eqbal Zakaria, pantas mendukung adik perempuannya berusia dua tahun dan mengarahkan dua lagi adik lelaki dan perempuan, masing-masing berusia lapan dan tiga tahun keluar dari rumah selepas menyedari berlaku kebakaran dalam sebuah bilik di rumah mereka.
Tindakan itu menyelamatkan empat beradik itu daripada rentung kerana ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana bekerja.
Menurut anak keempat daripada sembilan beradik itu, dia mengakui cemas dengan kejadian berkenaan, namun apa difikirkan ketika itu hanyalah mahu menyelamatkan diri dan tiga adiknya.
“Nampak saja api dalam bilik, saya segera dukung adik yang masih kecil dan menyuruh dua lagi adik keluar dari rumah. Selepas itu rumah terus terbakar.
“Saya beritahu jiran dan mereka segera memanggil bomba,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, dekat sini, semalam.
Zoel Hamka menerima pakaian lengkap bomba bersama sijil penghargaan sambil ditemani ayahnya, Zakaria Razak, 50. Penyampaian sijil disempurnakan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman.
sumber : mymetro
No comments:
Post a Comment