Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 20 March 2012

Geng samun warga asing tumpas


KOTA TINGGI – Polis daerah ini berjaya menumpaskan geng samun bersenjata warga asing dalam tempoh lima hari daripada kejadian samun yang berlaku pada 8 Mac lalu, di Kilang Getah di Pasak Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, dalam kejadian tersebut, warga asing bersenjatakan parang panjang menyamun tiga pengawal kilang berkenaan dan berjaya melarikan dua Pum Gun bersama 30 peluru, sepucuk pistol bersama 20 peluru, satu T-baton, sebuah komputer riba dan empat telefon milik mangsa.

“Berikutan itu, pada hari sama, kumpulan siasatan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor, Datuk Amer Awal ditubuhkan. Satu serbuan telah dibuat kira-kira jam 5 petang di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit, di sini dan polis berjaya menahan tujuh warga asing berusia 22 hingga 28 tahun yang juga pekerja di ladang berkenaan. Melalui soal siasat yang dilakukan terhadap suspek, polis membuat satu lagi serbuan dan berjaya menahan tujuh lagi suspek warga asing berusia antara 18 hingga 27 tahun di Taman Daya, Johor Bahru, 11 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.

Manakala dalam kejadian berasingan di Batu Pahat, anggota polis berjaya menahan seorang warga asing dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan jam 9.30 malam.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dari pinggang dan mengacukan kepada anggota. Suspek warga asing berusia 23 tahun itu dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Polis juga berjaya merampas sepucuk pistol automatik, 11 peluru dan 9 lagi peluru yang ditemui di dalam beg suspek.

“Melalui tangkapan tersebut, polis Batu Pahat melakukan serbuan di sebuah taman perumahan di Batu Pahat dan berjaya menahan dua lagi suspek yang juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta merampas 30 peluru Pum Gun,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun serta sebatan.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta senjata api (Penalti lebih berat) 1971 dan dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan serta seksyen 8 (a) Akta senjata 1960 yang boleh membawa hukuman 7 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM10,000 serta sebatan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: