Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 20 March 2012

Pandangan Hadi bukan jawapan politik


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang Jumaat lalu melahirkan pandangan bahawa urusniaga dengan Yahudi dibolehkan tetapi tidak dengan Zionis, bukan "jawapan politik" untuk menjaga hati sesiapa tetapi berasaskan fakta, sejarah dan hukum dalam Islam, kata setiausaha akhbarnya, hari ini.

Mengulas pandangan Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Mohd Nasaie Ismail berkata, kenyataan Abdul Hadi hujung minggu lalu adalah selari dengan pendirian rasmi Pengerusi Persatuan Ulama Dunia, Dr Yusuf Al Qardhawi bahawa Israel ditentang bukan kerana mereka Yahudi, tetapi kerana mereka menjajah tanah umat Islam Palestin dan fahaman zionis mereka.

Dalam pandangannya disiarkan Sinar Harian semalam, Mahmood Zuhdi antara lain menyifatkan kenyataan Presiden Pas mengenai urusan perniagaan boleh dilakukan dengan Yahudi akan memecah belah umat Islam.

Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, tindakan Abdul Hadi membuat perbandingan antara Yahudi sekarang dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW adalah tidak tepat dan ia lebih kepada motif politik.

Katanya, orang Yahudi pada zaman dahulu memiliki akhlak baik dan sanggup bekerjasama dengan pemimpin dan umat Islam berbanding sekarang.

Abdul Hadi tergelincir dari landasan Islam sebenar dan seolah-olah menggadaikan perjuangan Islam, kata ahli akademik itu.

Mahmood Zuhdi, yang juga Pesuruhjaya Suhakam berkata, Ahli Parlimen Marang mengeluarkan kenyataan sekadar menyedapkan mulut dan mengambil hati pemimpin tertentu.

Mengulas lanjut perkara itu, Nasaie berkata, penubuhan negara haram Israel bukan sahaja melibatkan Yahudi tetapi juga adanya konspirasi melibatkan Kristian Evangelis.

"Bermakna Zionis itu bukan melibatkan kesemua Yahudi, tetapi sebahagian Yahudi dan segelintir Kristian mazhab Evangelis," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Keduanya, menurut Nasaie, di kalangan penganut Yahudi salah satu cabang dalam mazhab ortodoks sendiri menentang Zionisme dan dianggap sesat daripada agama Yahudi yang sebenar.

"Mereka menganggap penubuhan Negara Israel di atas tanah umat Islam Palestin ibarat menggali kubur besar kepada orang Yahudi sendiri.

"Yahudi sebegini terlibat sama dalam banyak muktamar pembebasan Palestin yang diadakan di Beirut, Istanbul, London dan Tehran. Malah ada di antara mereka dipenjarakan oleh rejim Zionis Israel kerana menentang penubuhan negara tersebut," katanya lagi.

Sehubungan Nasaie berkata, beliau terkeliru dengan kenyataan Mahmood Zuhdi menyatakan bahawa Yahudi zaman Rasulullah berbeza dengan Yahudi hari ini kerana mereka berakhlak mulia.

"Sedangkan Yahudi di zaman Rasulullah pun ramai yang jahat dan menyeleweng daripada kitab taurat. Namun ada yang bermuamalah dengan Nabi.

"Tauladan Nabi ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Begitu juga hari ini, wujud Yahudi berfahaman Zionis yang zalim menjajah dan membunuh umat Islam dan wujud juga Yahudi yang menolak dan menentang penubuhan penjajahan dan kezaliman tersebut.

"Mereka banyak tinggal di Amerika dan Eropah. Malah dizaman ini ada diantara mereka memeluk Islam dan menjadi pendakwah terkenal seperti Muhamad Asad daripada Austria dan Mariam Jamilah daripada Amerika," katanya lagi.

Mengenai poin Mahmood Zuhdi yang mengatakan bahawa jawapan Abdul Hadi tergelincir daripada landasan Islam dan bertujuan politik untuk menjaga hati pemimpin tertentu yang menyokong Yahudi Zionis adalah tuduhan yang berat.

"Mungkin beliau tidak membaca kenyataan rasmi Presiden Pas dan disambut oleh Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) secara tegas bahawa Pas menolak kewujudan negara haram Israel.

"Malah Presiden Pas juga tegas menyatakan jika kesemua negara Arab bersetuju pembahagian wilayah Palestin dan Israel, kita tetap menentangnya kerana Palestin bukan milik Arab, tetapi milik umat Islam," katanya lagi.

sumber : sinarharian

No comments: