Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 21 March 2012

Dituduh menyamar polis, rogol pelajar


GEORGETOWN - Seorang jurukimpal mengaku tidak bersalah dengan tiga pertuduhan yang dihadapinya dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, satu pertuduhan dituduh di Mahkamah Sesyen Georgetown manakala dua pertuduhan lagi dituduh di Mahkamah Majistret.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen, M Retnam, 32, dituduh merogol seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau pada 1 Mac lalu kira-kira jam antara 2.30 hingga 3.30 petang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kawasan hutan berdekatan MRSM berkenaan di Pondok Upeh, Balik Pulau.

Pertuduhan dibacakan juru­bahasa dalam bahasa Tamil di ha­dapan hakim, Sitarun Nisa Abdullah dan tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Berikutan kesalahan yang di­hadapkan terhadap tertuduh dikate­gorikan sebagai kesalahan serius sehingga mendatangkan trauma kepada mangsa serta masa depan mangsa, Penolong Pendakwa Raya, Sariza Ismail menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000.

Dalam rayuannya, Retnam yang tidak diwakili peguam meminta wang jaminan dikurangkan beriku­tan menanggung dua anaknya serta isterinya yang sedang sakit buah pinggang dan tidak bekerja.

Sitarun kemudiannya mene­tap­kan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 16 Julai depan untuk laporan perubatan dan DNA.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Retnam menghadapi dua pertuduhan iaitu kesalahan menyamar sebagai anggota polis serta memiliki senjata berbahaya.

Untuk pertuduhan pertama, dia dituduh menyamar sebagai anggota polis dengan menunjukkan sekeping kad dan meminta pasport dari seorang warganegara Indonesia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Mac lalu pada jam 10.30 malam di dalam lif di Mutiara Apartment, Jalan Sungai Emas, Batu Feringghi.

Tertuduh yang berasal dari Klang, Selangor itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh memiliki sebilah pisau yang berukuran 27 sentimeter (cm) tanpa kebenaran yang sah di tempat dan hari yang sama pada jam 10.40 malam.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, Retnam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar menawarkan wang jaminan seba­nyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua per­tuduhan namun tertuduh meminta ia dikurangkan dengan alasan yang sama.

Majistret, Noor Aini Yusof kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes itu pada 17 April depan bagi tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen.

sumber : sinarharian

No comments: