Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Mengaku salah bunuh ‘mak’


KUALA TERENGGANU- Seorang bekas komando dijatuhi hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah membunuh tanpa niat nenek saudaranya yang dipanggil ‘mak’, kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nassir Abdul Manan, 45, mengaku melakukan perbuatan tidak berperikemanusian itu terhadap mangsa, Muda Mat Zain yang berusia 80 tahun ketika kejadian di sebuah rumah No.225, Jalan Baru, Bukit Pak Sabah, Dungun, pada 12 Oktober 2009 kira-kira antara jam 9 pagi hingga 7.30 petang.

Dengan itu tertuduh yang juga bapa kepada lima anak ini mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan dan menerima pengakuan bersalah tertuduh.

“Tindakan tertuduh yang ketika itu berada dalam pengaruh dadah menyebabkan kehilangan satu nyawa yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan diri tertuduh sendiri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Abdullah Muhamad.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemui mati di bilik rumahnya dalam keadaan menyayat hati selepas dipercayai ditetak menggunakan tukul yang disembunyikan berhampiran rak baju dalam bilik tersebut selain kepala mangsa direndam dalam besen dipenuhi air.

Mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan ditemui anak keempatnya Lijah Ali atau dikenal Lijah, 56, yang tinggal lebih kurang 10 meter sahaja jarak dari rumah mangsa kira-kira jam 6.30 petang semasa hendak menghantar makanan kepada wanita malang itu.

Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati terdapat sembilan luka hiris pada kulit kepala di bahagian atas dalam kedudukan berbagai-bagai arah yang telah menyebabkan kulit kepala tembus dan terkena tengkorak bahagian bawah menyebabkan ia terserpih.

Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan luka lebam pada leher sebelah kanan dan kiri namun tiada kecederaan pada tulang hyroid serta turut terdapat air dalam saluran pernafasan, paru-paru serta dalam perut mangsa.

Terdapat juga 12 luka torehan pada pinggang kanan, 13 sentimeter dari tulang ilium. Tujuh daripadanya sebelum mangsa mati dan lima berlaku setelah mangsa meninggal dunia.

Berikutan kejadian, mangsa turut kehilangan wang dan barang kemas yang dipakainya iaitu tiga gelang tangan, dua bentuk cincin dan rantai leher yang telah putus disimpan dalam beg hitam di atas katil mangsa.

Tertuduh ditahan pada 13 Oktober 2009 jam 4.45 petang di rumahnya dan barang kemas milik mangsa yang disorokkan di atas syiling rumahnya dan dua bilah pisau yang digunakan dicampak di dalam longkang berhampiran Sekolah Menengah Sultan Omar, Dungun.

sumber : sinarharian

No comments: