Partime Job

Monday 19 March 2012

Cuci sisa minyak secara haram


SENAI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal tangki yang disyaki melakukan kerja-kerja pembersihan sisa minyak pepejal secara haram di kedudukan 3.4 batu nautika Selatan Tanjung Stapa, Pengerang, Kota Tinggi.

Kapal tangki MT Fortune dipercayai dari Batam, Indonesia itu ditahan semasa sedang melakukan aktiviti tersebut kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, penahanan dilakukan oleh bot APMM ketika melakukan rondaan rutin di perairan itu.

“Semasa bot APMM menghampiri, kapal tersebut dalam keadaan mencurigakan apabila anggota kami berjaya menghidu bau minyak dipercayai ada aktiviti sedang dilakukan atas kapal terbabit.

“Ketika anggota bot APMM menaiki kapal itu, beberapa kru kapal sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki tanpa menyedari kehadiran kami. Hasil pemeriksaan, terdapat 11 kru warga Indonesia dan anggota kami juga menemui 300 hingga 400 guni sisa minyak pepejal di atas geladak atas kapal,” katanya.

Adon berkata, siasatan awal mendapati, kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen serta kebenaran untuk melakukan pemindahan sisa minyak pepejal terjadual.

“Mereka juga didapati gagal melaporkan ketibaan kapal dalam perairan negara. Kita percaya mereka melakukan aktiviti mencuci tangki pada waktu malam hingga awal pagi bagi menggelakkan dari dikesan pihak berkuasa APMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Adon, kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk siasatan lanjut setelah disyaki melakukan pemindahan minyak pepejal terjadual tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) 2005,” katanya.

Sementara itu, APMM akan menyiasat mengikut Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Dius Api, iaitu bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia .

sumber : sinarharian

No comments: