Partime Job

Monday 19 March 2012

Pesara tentera lemas di Kepulauan Sembilan belum ditemui

IPOH - Seorang pesara tentera Mohd Nasir Mokhtar, 52, yang lemas ketika melakukan aktiviti skuba bersama rakan-rakannya di Batu Hitam, Kepulauan Sembilan, Pangkor, dekat sini, masih belum ditemui.

Penolong Penguatkuasa Bomba dan Penyelamat Pangkor, Arshad Abdullah berkata operasi mencari dan menyelamat yang bermula pukul 8 pagi tadi dihentikan sementara pada pukul 4 petang kerana keadaan cuaca yang tidak baik dan laut bergelora.

"Masih tiada lagi petanda awal yang membawa kepada penemuan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi semalam, selepas mangsa didapati tidak timbul ketika melakukan aktiviti itu bersama satu kumpulan penyelam yang dianggotai l3 orang.

Sementara itu, rakan mangsa berumur lingkungan 50-an yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata mangsa sebelum ini pernah melakukan aktiviti tersebut bagi menghabiskan waktu lapangnya.

"Saya dengan Mohd Nasir baru kenal, setahu saya dia (Mohd Nasir) dah lama lakukan aktiviti skuba...sebelum kami bertolak ke pulau itu tiba-tiba dia nak ikut sama menyelam," katanya.

Beliau berkata sebelum kejadian berlaku mangsa diminta menukar jaket pengapungan kepada yang lain kerana jaket miliknya sendiri itu didapati bocor.

"Sebelum kami selam memang jaket dia bocor, kami minta dia tukar jaket lain tapi dia tak mahu dan dia bagi tahu kami jaket dia bocor sedikit sahaja dan selesa pakai jaket itu," katanya.
Katanya, ketika aktiviti itu bermula Mohd Nasir berada jauh 15 meter dari anggota kumpulannya yang lain.

"Bila masuk dalam air dia memang jauh dari kami. Tiba-tiba dia tenggelam timbul dan kami lihat dia semakin jauh dari kami. Kami cuba nak selamatkan tapi tak sempat sebab dia hanyut di bawa air laut," katanya. -Bernama

No comments: