Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Berbasikal edar poster Fatihah


MARAN - Nasib malang yang menimpa keluarga seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang didakwa diculik di Kuantan sejak Ahad lalu mendapat simpati pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menyedari tanggungjawab sosial dan atas dasar keprihatinan, Persatuan Berbasikal Maran (MCC) mengambil inisiatif mengedarkan poster wajah mangsa kepada orang ramai di sekitar Bandar Maran.

Pengerusi MCC, Azhar Abu Bakar berkata, inisiatif bersama Sinar Harian Edisi Pahang itu bertujuan menyebarkan berita mengenai kehilangan mangsa selain sebagai tanda sokongan moral kepada kesedihan­ ­keluarga mangsa.

Menurutnya, peranan orang ramai amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes jenayah itu.

“Kejadian sebegini pasti memberi satu tekanan emosi kepada keluarga mangsa memandangkan tidak mengetahui nasib yang berlaku ke atas anak perempuan mereka. Maka usaha mengedarkan poster wajah mangsa diharap dapat membantu pihak polis melalui penyaluran maklumat daripada orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang ahli MCC, Shamsul Kahar Adam, 36, berkata, banyak faktor penyebab jenayah berlaku dan pihak berkuasa sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran.

Menurutnya, orang ramai percaya akan keupayaan pihak polis yang sentiasa mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani perkara tersebut.

“Untuk mencari mangsa mungkin orang ramai tidak berkemampuan namun diharap usaha mengedarkan poster wajah mangsa diharap sedikit sebanyak membantu ke arah penyelesai kes ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: