Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Anggota polis maut dirempuh motosikal

KUANTAN - Seorang anggota polis dari Balai Polis Raub maut sementara anak lelakinya cedera selepas dirempuh sebuah motosikal setelah motosikal yang dinaiki mereka terjatuh di Kilometer 356 Jalan Raub - Bentong berhampiran simpang masuk ke Taman RaubJaya 5, Raub, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 7.45 petang itu, mangsa, Zahari Che Min, 45, yang mengalami kecede­raan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Mohd. Syazmi, 11, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Raub, Supe­rintenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama anak­nya itu dalam perjalanan dari arah bandar Raub menuju ke Bentong.

Menurutnya, ketika sampai ke tem­pat kejadian, mangsa dipercayai mem­belok masuk ke simpang sebelah kanan bagaimanapun motosikalnya hilang kawalan lalu terjatuh.

‘’Pada masa yang sama, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lel­aki berusia 28 tahun yang datang dari arah Bentong gagal mengelak mangsa yang berada di atas laluan lalu merempuhnya. ’Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di tem­pat kejadian,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Wan Mohd Samsudin berkata, anak lelaki mangsa hanya mengalami luka kecil di muka dan tangan semen­tara penunggang motosikal yang me­rempuhnya juga cedera ringan.

‘’Mayat mangsa di hantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan disahkan meninggal akibat kecederaan parah di kepala. Mayat mangsa kemudian ditun­tut keluarga dan dibawa pulang ke kampung halaman di Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut ma­sih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan (APJ) 1987.

sumber : sinarharian

No comments: