Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Bayi lahir muka lebam

KLANG: “Luluh hati saya melihat zuriat sulung yang dilahirkan cedera padahal sepanjang tempoh kandungan selama ini doktor mengesahkan bayi saya dalam keadaan sempurna dan sihat,” kata Ibrahim Umran, 23.

Dia mendakwa berlaku kecuaian hingga mengakibatkan kecederaan di muka bayi perempuannya termasuk lebam dipercayai semasa kelahiran pada jam kira-kira 10.15 malam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, di sini, Isnin lalu.


Ibrahim berkata ketika kejadian dia di luar bilik pembedahan bersalin menunggu isterinya, Siti Aishah Abdullah, 23.

“Sebelum itu saya sudah terkejut apabila pihak hospital menelefon memberitahu akan bedah perut isteri saya. Saya jangka isteri akan bersalin normal kerana bukaan sudah 8 sentimeter.


“Pihak hospital hanya memberitahu isteri sudah turunkan tanda tangan dan saya terus berdebar menunggu di luar bilik pembedahan.


“Selepas menunggu dengan penuh debaran, dua jururawat wanita membawa keluar bayi dan saya sangat terkejut mendapati banyak lebam di bahagian muka zuriat sulung saya itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dia yang berkahwin pada Disember tahun lalu meluahkan rasa sedih apabila melihat bahagian atas mata bayinya itu turut lebam.


Akibat kejadian juga, bayinya itu terpaksa menggunakan peralatan khas untuk menyusu.

Apa yang dikesalkan, katanya, apabila ditanya kepada jururawat berkenaan mengapa bayinya berkeadaan sedemikian, mereka hanya menjawab tidak tahu.


Menurutnya, dia meminta untuk menemui doktor yang melakukan pembedahan itu tetapi pelbagai alasan diberikan kakitangan hospital.


Mengulas lanjut, Ibrahim yang bekerja sebagai pemandu lori menyatakan seorang doktor lain datang menemuinya untuk memberikan penjelasan.


“Mula-mula saya ingatkan bayi saya itu mungkin terjatuh atau terkena benda panas sebab ada kesan menggelembung pada pipi kiri, saya rasa geram dengan keadaan itu.


“Saya kata pada doktor itu, apa yang akan dilakukannya jika berlaku kepada bayi dia. Doktor itu menjawab mungkin dia juga akan membuat laporan.


“Doktor itu meminta saya bersabar dan berkata kesan lebam dan luka itu akan sembuh dalam masa dua minggu,” katanya yang membuat laporan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, pada hari sama kelahiran bayinya.


Menurutnya, doktor berkenaan juga mengakui kemungkinan luka di wajah bayinya itu disebabkan terkena tangan.


Sehubungan itu juga, Ibrahim sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat.


Menurutnya, peguam menasihatkan menunggu sehingga tempoh dijanjikan itu dan jika bayinya yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonate (NICU) HTAR masih belum pulih, tindakan susulan boleh diambil.


Sementara itu, isterinya Siti Aishah yang baru memeluk Islam tahun lalu masih lemah dan masih berada di wad hanya berharap bayi sulung mereka yang dilahirkan seberat 3.9 kilogram itu, sihat dan tidak ada masalah kemudian hari.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.


Jurucakap pihak hospital yang dihubungi pula, berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan dengan mendapatkan maklumat dari bahagian bersalin sebelum memberikan ulasan lanjut.

sumber : mymetro

No comments: