Partime Job

Sunday, 11 March 2012

Air kumbahan melimpah


IPOH - Kira-kira 200 penduduk Taman Desa Pinji dan sekitarnya menggesa supaya pihak berwajib mengambil tindakan menutup loji kumbahan yang didakwa sudah tidak beroperasi lebih 20 tahun di kawasan berkenaan.

Loji kumbahan yang ditinggalkan itu kini menjadi tempat pembuangan sampah sehingga menyebabkan longkang di sekitarnya tersumbat.

Malah, yang hendak ke Masjid Al-Ahmadiah, Kampung Changkat Larang yang terletak hanya 200 meter dari loji itu terpaksa melalui jalan yang dilimpahi air najis bercampur sampah setiap hari.

Bukan itu sahaja, tanah perkuburan dan tadika yang terletak bersebelahan loji tersebut turut terkena tempiasnya.

Seorang penduduk, Parvis Esa, 54, yang tinggal berhadapan dengan loji itu berdepan masalah limpahan air kumbahan mengalir ke kawasan rumahnya setiap kali hujan lebat.

Katanya, jalan tar yang dibina untuk memasuki kawasan rumahnya turut pecah akibat hakisan daripada air limpahan berkenaan.

“Keadaan menjadi lebih serius sejak dua bulan lalu ditambah dengan hujan yang berlaku hampir setiap hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau yang bekerja sebagai tukang masak mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil bagi menutup sepenuhnya loji itu.

“Selagi air najis bercampur sampah sarap itu tidak dipam dan dikambus segera masalah limpahan air tidak akan selesai sampai bila-bila. Jemaah masjid juga sering merungut keadaan ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: