Partime Job

Thursday 22 March 2012

900 sambut Nurussyahamah


BESUT – Hampir 900 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Wataniah dekat Alor Keladi, Hulu Besut menyambut kepulangan wirawati sekolah itu, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 13, semalam.

Pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan mengharumkan nama sekolahnya termasuk membanggakan rakyat negeri dan daerah ini apabila dinobatkan juara Program Realiti Adik-Adikku musim Ketiga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di Putrajaya, Ahad lalu.

Dia bersama bapa dan ibunya diiringi pengetua, Md Yusof Rahim diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar ke dewan sekolah kemudian disambut ratusan pelajar yang sedia menanti.

Menurut Md Yusof, kejayaan pelajar itu menewaskan empat peserta lain termasuk dari Brunei menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap bidang.

“Kejayaan anakanda Nurussyahamah Taqiah membanggakan kita semua dan pencentus kepada kejayaan pelajar lain, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga korikulum termasuk membentuk sahsiah terpuji.

“Guru juga perlu mencungkil dan menggilap bakat setiap pelajar kerana masing-masing mempunyai kelebi-han tersendiri,” katanya yang memberi ucapan tahniah kepada bapa pelajar itu, Nurunnajmi Yaacob, 41, dan ibunya yang juga tenaga pengajar di sekolah berkenaan, Sauzan Ibrahim, 40.

Pada majlis sambutan itu, Nurussyahamah Taqiah membuat persembahan seakan-akan persemba-hannya di pentas akhir Program Adik-Adikku.

Nurussyahamah Taqiah yang tinggal di Kampung Alor Keladi, Hulu Besut ini menerima hadiah tunai RM10,000, piala dan hadiah iringan antaranya pakej umrah dan ziarah, Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan komputer riba.

Gadis cilik ini pernah mengharumkan nama negara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah apabila mendapat tempat ketiga dalam Majlis Tilawah al–Quran Kanak-kanak Antarabangsa Qatar 2011 yang berlangsung di Doha, Qatar pada 26 Ogos tahun lalu.

Dia juga pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.

sumber : sinarharian

No comments: