Partime Job

Thursday 22 March 2012

Wanita mengandung gula-gula

KUALA TERENGGANU- Gara-gara ingin mencuri, seorang wanita yang masih berstatus anak dara sanggup berlakon berperwatakan seperti wanita yang sarat mengandung sembilan bulan bertujuan mengaburi mata pekerja di sebuah pasar raya terkemuka di sini, dalam satu kejadian.

Bagaimanapun, taktik kotor wanita yang berusia 25 tahun dan berasal dari Bukit Payong, di sini, tidak menjadi setelah dia ditahan oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan selepas curiga melihat saiz perut suspek yang saiznya agak luar biasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, suspek ditahan di hadapan pintu keluar pasar raya berkenaan oleh pengawal keselamatan bertugas yang sebelum itu sudah mencurigai tindak-tanduknya.

Lakonan suspek yang kononnya sedang sarat mengandung itu terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan dan berjaya menjumpai 18 bungkus gula-gula pelbagai jenama bernilai keseluruhan lebih kurang RM200 di dalam bajunya.

Suspek kemudian diserahkan kepada anggota polis selepas memaklumkan kejadian itu kepada pengurus pasar raya dan kini suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda manakala bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan tangkapan berkenaan.

sumber : sinarharian

No comments: