Partime Job

Monday 19 March 2012

9 tahun menanti geran tanah


ALOR GAJAH - Akibat terlalu percayakan seorang pengamal undang-undang yang dikenali atas urusan pindah milik tanah, seorang wanita terpaksa menanti lebih sembilan ­tahun untuk mendapatkan semula geran tanah rumah miliknya.

Wanita berkenaan yang berusia 41 tahun dari Masjid Tanah, dekat sini mempercayai pengamal undang-undang itu untuk menguruskan ­pindah milik rumahnya di sebuah ­taman perumahan di Senawang, Seremban selepas selesai menjelaskan tunggakan kira-kira RM40,000.

Menurutnya, urusan pindah ­milik yang dibuat pada November 2003 itu dilakukan sepenuhnya oleh pengamal undang-undang berkenaan yang sudah dikenali beberapa ­tahun lalu, namun apabila diminta semula geran tanahnya pelbagai ­alasan diberikan.

“Sejurus menyerahkan urusan pindah milik tanah rumah di Senawang itu, saya sentiasa mengikuti perkembangan untuk mengetahui kedudukan sebenar geran ­tanah yang pada asalnya di atas nama saya dan adik.

“Selepas selesai menjelaskan tunggakan berjumlah RM40,000 itu, saya dan adik berbincang untuk melakukan pindah milik tanah ke atas nama saya serta suami dan pengamal undang-undang itu mendakwa ia sudah diuruskan,” katanya yang hampir setiap hari menghubungi pengamal undang-undang terbabit.

Dia kini menyara lima anak yang masih bersekolah dan kecil berusia antara 2 hingga 13 tahun hanya ­bergantung kepada jualan akhbar ­secara kecilan bersama suaminya ­berusia 55 tahun yang juga orang ­kelainan upaya (OKU).

“Sebelum ini, saya ada pergi ke pejabat kewangan tempat saya membuat pinjaman perumahan, namun mereka mendakwa geran tanah saya itu sudah diserahkan kepada pengamal undang-undang berkenaan.

“Sebaik saya bertanyakan hal ini kepada pengamal undang-undang itu, dia memberikan alasan geran ­tanah saya sudah diserah pula ke Pejabat Tanah Seremban, malangnya pejabat berkenaan menyuruh saya membawa peguam bela,” katanya.

Tambahnya lagi, pengamal ­undang-undang berkenaan bukan ­sahaja merungut untuk menyelesaikan urusannya, malah cuba mengaburi matanya dengan tawaran ­sejumlah wang besar.

“Beberapa hari lalu, dia ada menawarkan RM60,000 kerana bersimpati dengan kesusahan saya dan ­keluarga malah pengamal undang-undang terbabit mencabar saya ­untuk membuat laporan polis jika saya tidak puas hati.

“Saya kesal dengan tindakan pengamal undang-undang terbabit dan meminta pihak polis menyiasat ­perkara ini serta tidak teragak-agak melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Shaharuddin Awang Yahya berkata, dalam kejadian ini terdapat beberapa peguam bela tidak amanah dengan pelanggan mereka.

Menurutnya, pengguna perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa dan LPKPM untuk tindakan ­lanjut memandangkan sebahagian mereka ini menggunakan peluang dari kelemahan pelanggan untuk ­kepentingan sendiri.

“Saya hairan mengapa seorang peguam bela yang diamanahkan oleh pelanggan untuk menguruskan hal berkaitan jual beli dan pindah milik rumah tergamak menyimpan geran rumah milik orang lain sejak ­sembilan tahun lalu.

“Pihak LPKPM sedia membantu pelanggan yang menjadi mangsa ­penipuan berhubung pembelian ­rumah yang membabitkan peguam bela dan peguam cara yang tidak amanah dalam etika tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima ­laporan dan pihak polis akan menjalankan ­siasatan lanjut.

sumber : sinarharian

No comments: