Partime Job

Monday 19 March 2012

Kerja siap, duit tak sampai


MAMBAU – Kerja sudah siap, namun sehingga kini seorang kontraktor di sini mendakwa masih belum memerima bayaran hasil usaha membaiki 20 bumbung rumah yang rosak dilanda ribut, Oktober tahun lalu.

Kontraktor terbabit, A.Veerasekaran 56, kini masih menunggu wang daripada seorang yang didakwanya pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab terhadap bayaran kerja baik pulih rumah berkenaan yang terletak di Taman Mambau Height, dekat sini.

“Saya sudah siap baiki 20 buah bumbung rumah penduduk yang dilanda bencana sepertimana diminta mereka. Tetapi sehingga sekarang tiada langsung pembayaran dibuat atas kerja yang saya lakukan sebelum ini,” katanya.

Veerasekaran mendakwa, hampir lima bulan dia menunggu untuk mendapatkan pembayaran membaiki bumbung rumah terbabit, namun semuanya hanya tinggal janji, malah pemimpin berkenaan turut tidak dapat dikesan.

Menurutnya, pada mulanya, dia memperolehi tawaran bagi membaiki bumbung rumah selepas rakannya memperkenalkan dirinya kepada pemimpin tersebut.

“Sewaktu itu, saya telah diminta untuk segera membaiki 20 buah bumbung rumah penduduk. Disebabkan ia perlu dibuat segera, tidak ada sebarang kontrak ditandatangani diantara kedua-dua belah pihak.

“Saya ketika itu tidak memikirkan apa-apa, cuma mahu membaiki segera bumbung rumah penduduk dan selepas tiga minggu kemudian, semua 20 buah bumbung rumah dapat disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, dia telah mengeluarkan modal sendiri pada peringkat awal membeli semua bahan membaiki lima bumbung rumah iaitu sebanyak RM2,500.

“Selepas itu, saya sekali lagi mendahulukan wang saya dengan mengeluarkan modal sebanyak RM6,000 untuk membeli bahan-bahan untuk menyiapkan baki membaiki bumbung rumah penduduk di taman berkenaan atas dasar janji daripada pemimpin itu yang dikatakan akan membayar semula ,”katanya.

Veerasekaran yang sudah berpengalaman 25 tahun dalam bidang ini berkata, dia kesal apabila merujuk kepada beberapa pemimpin kerajaan lain, semuanya tidak dapat memberi jawapan pasti kepada saya berkenaan dengan pembayaran tersebut.

“Duit upah pekerja saya pun belum saya langsaikan. Sehingga kini, saya gagal menghubungi pemimpin berkenaan. Sepatutnya saya terima hampir RM20,000,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke mahu Kerajaan Negeri menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan segera.

“Sebaik-baiknya Kerajaan Negeri perlu menjalankan siasatan berkenaan dengan perkara ini bagi mengelakkan daripada individu mengambil kesempatan dan tiada pihak yang menjadi mangsa selepas ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: