Partime Job

Tuesday 20 March 2012

6 kelab kenderaan ambil bahagian di Mega Auto Show


SEGAMAT - Lebih 50 kenderaan dari enam kelab kenderaan di daerah ini mengambil bahagian dalam Mega Auto Show diadakan di Dataran Segamat, tengah hari semalam.

Penganjur program, Jamaludin Hasseman berkata, ini adalah perjumpaan kedua bersama ahli kelab kenderaan yang berdaftar di daerah ini setelah menjalankan aktiviti hampir sama di pekan Jementah pada tiga minggu lalu.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung di Dataran Segamat itu pelbagai aktiviti diadakan bermula dari jam 12 tengah hari dengan jualan dari beberapa gerai di sekeliling dataran selain kehadiran artis di sebelah malamnya.

“Selain itu aktiviti yang diadakan lebih kepada kerjasama dalam kumpulan seperti pertandingan timbang bola takraw, chicken dance, rebut kerusi, pertandingan karaoke dan pelbagai lagi dengan sasaran semua peringkat umur bermula dari kanak kanak hingga dewasa.

“Kita melihat ukhuwah yang rapat antara semua ahli kelab kenderaan ini menjadikan mereka lebih senang berhubung antara satu sama lain terutamanya dalam menyelesaikan masalah kenderaan di samping saling berkongsi pendapat mengenai alat ganti kenderaan terbaru,” katanya.

Pada program tersebut kelab yang mengambil bahagian ialah Malaysia Honda Civic Club (MHCC), Waja Club, BLM Club, Prosboc Club, Small Motor Club (SMC) dan JRWC Club.

Sementara itu, salah seorang ahli kelab MHCC Segamat, Syed Mohd Khairi Syed Abd Rahman, 24, berkata, perjumpaan seperti ini meskipun hanya diadakan beberapa bulan sekali sudah memadai untuk merapatkan jurang antara ahli kelab MHCC dan kelab kenderaan lain di daerah ini.

“Walaupun terdapat beberapa aktiviti luar MHCC bersama masyarakat yang telah diadakan sebelum ini berjalan lancar, namun kehadiran kelab kenderaan lain juga mencerminkan kekuatan antara semua kelab kenderaan tanpa ada perbezaan.

“Pihak kita tiada halangan dalam memberikan kerjasama bagi khidmat masyarakat untuk mereka yang memerlukan dan berharap lebih ramai penganjur yang sudi melibatkan kelab-kelab kenderaan bermotor daerah ini dalam ekspo atau program dengan tujuan menghidupkan lagi suasana di tempat berkenaan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: