Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Ke arah bandar ilmu pengetahuan tinggi


PASIR GUDANG - Sekolah Antarabangsa Excelsior akan dibina di kawasan Bandar Seri Alam, di sini, dengan melibatkan kos berjumlah RM60 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.

Sekolah berkenaan dibangunkan untuk memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan mendapatkan pendidikan di dalam suasana lebih selesa dengan sukatan pelajaran antarabangsa.

Selain dilengkapi kolam renang dan trek balapan, sekolah itu menawarkan pembelajaran di dalam kelas berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada semua murid dan pelajar berusia 3 hingga 18 tahun.

Difahamkan, sekolah yang dibangunkan di atas tapak seluas lapan hektar itu merupakan hasil kerjasama Seri Alam Properties dan Raffles Campus Pte Ltd berpangkalan di Singapura.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaannya sebagai alternatif kepada ibu bapa yang menghantar anak bersekolah di Singapura.

“Saya mengalu-alukan projek seumpama ini di mana ia akan menjadikan kawasan Seri Alam sebagai bandar ilmu pengetahuan tinggi dan pada masa sama, boleh menampung keperluan pendidikan di negeri ini.

“Ia bakal memberi peluang kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah ini dan alternatif kepada mereka yang bersekolah di Singapura.

“Sebelum ini kita tahu kebanyakan ibu bapa gemar menghantar anak mereka bersekolah ke Singapura, justeru apabila siap kelak sekurang-kurangnya mereka tidak perlu bersiap awal pagi untuk ke republik itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Excelsior International School di Jalan Purnama di sini, semalam.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, pembinaan sekolah itu memenuhi hasrat bidang pendidikan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita jangkakan ia boleh memuatkan hampir 2,500 pelajar berusia antara tiga hingga 18 tahun pada satu-satu masa apabila siap sepenuhnya kelak.

“Selain jarak dekat, kadar yuran dikenakan amat berpatutan iaitu 15 peratus lebih rendah berbanding sekolah antarabangsa di Singapura,” katanya.

Menurutnya, sekolah berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh Raffles Campus dengan penyediaan silibus pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum mengikut piawaian antarabangsa bagi pelajar berusia tiga tahun hingga 18 tahun.

Selain itu, katanya, pengambilan murid serta pelajar untuk sesi pertama persekolahan akan mula dibuka pada awal tahun depan.

Sekolah Antarabangsa Exelsior itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti asrama, kelas berhawa dingin, makmal sains dan multimedia selain kemudahan sukan termasuk kolam renang, padang tenis, padang bola sepak serta trek balapan.

sumber : sinarharian

No comments: