Partime Job

Tuesday 21 February 2012

Cegah anak jadi Tanggang

PERNAH dengar kisah Si Tanggang? Mungkin ramai yang tahu, walaupun mereka tidak percayakan kesahihannya. Tidak kisahlah jika kisah Tanggang itu benar atau dongeng, tetapi moral ceritanya memang mempunyai hikmah.

Pada zaman serba canggih dan moden ini, lebih ramai Tanggang yang lahir. Bezanya, Tanggang Moden tidak bertukar menjadi batu sebaliknya hati dan kepala mereka menjadi seketul batu yang beku serta keras hingga gagal untuk mengenali ibu bapa kandung sendiri. Persoalannya, mengapa situasi ini berlaku?

Tiga faktor utama menjadi punca berleluasanya tragedi menghiris hati insan bergelar ibu dan bapa ini ialah pendidikan, teladan daripada sikap ibu bapa dan pemakanan.

n Pendidikan

Rata-rata ibu bapa mementingkan pendidikan anak-anak tapi ramai yang tersilap percaturan.

Apakah yang akan berlaku apabila seorang anak berusia tujuh tahun gagal dalam peperiksaannya atau gagal mendapat tempat seperti kehendak dan harapan ibu bapanya? Pastinya anak itu dimarahi.

Bagaimana pula jika anak itu tidak solat atau mengaji Iqra', Qiraati atau al-Quran? Berapa ramaikah ibu bapa yang akan marah, sama seperti ketika anak tersebut gagal dalam peperiksaan?

Ya! Hadis Rasulullah SAW menyebut: "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)". - Hadis Riwayat Abu Daud.

Berapa ramaikah ibu bapa yang memukul (untuk mengajar) anak-anak sebab tidak solat? Apabila ibu bapa tidak mengutamakan solat yang menjadi faktor utama pembentuk peribadi mulia, sukarlah jiwa dan jati diri anak-anak dipelihara.

Kalau solat tiang agama tidak diambil berat, pastinya cabang-cabang ilmu agama lainnya dikesampingkan juga. Maka, bagaimanakah anak-anak hendak sedar dan tahu akan perlunya menghormati ibu bapa?

n Teladan Sikap Ibu Bapa

Pepatah Melayu ada menyebut, jangan jadi seperti ketam, mengajar anak berjalan betul sedangkan ia sendiri bergerak senget.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang gagal untuk hormati anda, tanya diri, apakah anda telah berikan contoh teladan yang baik untuk anak-anak anda?

Ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mencari wang untuk mencukupkan keperluan dan menikmati kemewahan. Dalam kesibukan tersebut, ramai terlupa pada tanggungjawab untuk memberikan perhatian dan kasih sayang buat anak-anak. Secara timbal balik, ia berkaitan dengan soal memberi perhatian dan kasih sayang buat kedua-dua ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang tidak menyayangi maka dia juga tidak akan disayangi."

Apabila ibu bapa gagal menunjukkan perhatian atau meluahkan kasih sayang kepada anak-anak, pastinya anak-anak mencari individu lain yang boleh dikongsi kasih.

Anak-anak tidak tahu cara untuk sayang dan hormat ibu bapa sebab ibu bapa sendiri gagal untuk hormat dan mengasihi mereka.

Jika anda meluangkan masa dengan anak-anak tetapi gagal menunjukkan perhatian dan kasih sayang buat ibu bapa anda (datuk dan nenek kepada anak-anak anda), maka anak-anak anda akan menganggap bahawa mereka boleh sibuk dengan kerjaya dan keluarga sendiri tanpa mempedulikan ibu bapa.

n Pemakanan

Ramai ibu bapa yang berikan makanan syubhah kepada anak-anak. Makanannya halal, daripada sumber pekerjaan yang halal tapi ia menjadi syubhah kerana barakah dan kesuciannya hilang akibat kelalaian ibu atau bapa ketika berusaha mendapatkan wang tersebut.

Contoh paling mudah, anda diminta majikan mula bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Soalan saya, adakah sepanjang tempoh tersebut ditolak waktu rehat satu jam pada tengah hari, anda betul-betul memberikan perhatian kepada kerja anda?

Saya yakin, ramai yang tidak memulakan kerjanya tepat pukul 8 pagi. Sebaliknya, ada yang sibuk baca akhbar, periksa e-mel, layari Facebook, bersembang dan bergosip. Tidak tidak kurang juga yang keluar sarapan dulu kemudian setengah jam atau sejam kemudian baru masuk semula ke pejabat.

Begitu juga pulang dari kerja. Sepatutnya pukul 5 petang tapi pukul 4.30 petang komputer sudah ditutup, berbedak dan tunggu depan mesin punch card.

Betulkah tindakan tersebut? Ketahuilah, jika anda terlibat dalam aktiviti seumpama ini, anda tergolong dalam kelompok yang tidak melaksanakan amanah majikan. Bahkan, anda menerima pendapatan yang tidak munasabah berbanding usaha anda.

Apabila anda menerima pendapatan yang tidak layak, bererti anda memperoleh hasil yang haram. Syubhah apabila anda tidak pasti.

Namun, apabila anda telah tahu perkara ini dan masih meneruskan tabiat yang serupa, anda telah menerima hasil yang haram untuk anda dan anak-anak anda.

Apabila anda suapkan anak-anak anda dengan hasil yang syubhah atau haram, hati anak akan jadi gelap, sukar dibentuk dan diajar. Maka, jadilah mereka anak yang degil, keras hati, keras kepala, tidak mendengar kata dan tidak hormatkan ibu bapanya.

Dalam memberi pendidikan kepada anak-anak, ajarlah segala bentuk ilmu yang ada tetapi tetap perlu mengutamakan solat serta cabang-cabang ilmu agama lainnya.

Andai anak-anak telah terdidik dengan iman dan taqwa di dalam diri, lontarlah dia ke pelosok manapun, biar apa jua rintangan dihadapi, Allah pasti di dalam hati dan ibu bapa juga akan didahulukan.

Sumber : Kosmo - Pesona

No comments: