Partime Job

Tuesday 21 February 2012

"Saya rosakkan paru-paru sendiri"


MELIHAT raut wajah Lau Swe Teng, 66, jelas terpancar seribu penyesalan. Namun, semua itu tidak berguna lagi apabila dia disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) pada tahun 2001.

Biarpun telah disahkan menghidap COPD, lelaki yang mempunyai dua anak itu tidak pernah berhasrat untuk berhenti merokok walaupun berdepan dengan batuk yang teruk.

Berikutan dengan tabiat merokoknya itu, Swe Teng sentiasa berulang-alik ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan.

Biarpun sering kali mendapatkan rawatan, Swe Teng hanya mengambil ubat-ubatan sekiranya perlu dan merokok seperti sediakala walaupun mengetahui tabiat itu akan memakan dirinya suatu hari nanti.

Namun pada tahun lalu, Swe Teng mengalami sesak nafas yang teruk dan mujur sempat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Disebabkan keadaannya terlalu serius, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari di hospital berkenaan.

Mujur usia Swe Teng masih panjang apabila dia berjaya diselamatkan. Peristiwa itu nyata membuatkan warga emas itu insaf sehingga nekad meninggalkan ‘kekasih’ hati yang dicintainya sejak hampir lima dekad itu.

Swe Teng yang ditemui pada majlis pelancaran produk indacaterol inhalation powder, Onbrez Breezhaler di ibu negara baru-baru ini menceritakan segala-galanya bermula kerana terpengaruh dengan kawan-kawan yang terjebak dengan aktiviti merokok sejak berusia 12 tahun lagi.

Pada usia remaja, Swe Teng menghisap lima batang rokok. Bagaimanapun, apabila usianya menginjak ke-20 tahun dan sudah mempunyai pekerjaan tabiat itu menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Sejak itu, dia menjadi perokok tegar. Dua atau tiga kotak besar sehari merupakan perkara biasa dan ia berlanjutan sehingga berusia 65 tahun.

Swe Teng yang kini membuka perniagaan sendiri mengakui kesemua wang simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah habis digunakan untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditanya mengenai jumlah wang yang telah ‘dilabur’ untuk rawatan, Swe Teng tersenyum lantas menjawab: “Saya sendiri tidak ingat tetapi, sudah berpuluh-puluh ribu ringgit habis. Disebabkan degil, saya merosakkan paru-paru sendiri. Apa yang terjadi sebenarnya saya yang mencari penyakit ini,” keluhnya.

Swe Teng yang tidak putus-putus menyuarakan kekesalannya menghisap rokok memberitahu, disebabkan penyakit itu, dia sudah tidak boleh melakukan kerja-kerja berat kerana khuatir akan mengalami sesak nafas.

“Saya menyesal dengan tabiat lama saya. Saya sudah banyak menghabiskan duit dan telah banyak menyusahkan isteri dan anak-anak. Kini saya mahu menjalani hidup baharu dengan mengamalkan corak kehidupan yang sihat,” luahnya.

Kini Swe Teng mengambil ubat-ubatan selain menggunakan gas (inhaler) untuk mengurangkan masalah COPD walaupun baru setahun berhenti tabiat merokok.

Malah, dia turut melakukan senaman pada setiap hari selain menitikberat soal pemakanan
Sistem pernafasan merosot

Penyakit COPD merupakan gangguan pernafasan kronik yang menjadikan fungsi jantung semakin hari semakin merosot sekali gus mengehadkan pengaliran udara.

Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan penyakit itu boleh menyekat kebebasan rutin pesakit secara beransur-ansur. Ia adalah antara punca kematian dan kehilangan upaya utama di dunia.

Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, penyakit COPD dijangka menjadi punca ketiga kepada kematian menjelang tahun 2020.

Malah, WHO turut menjangkakan jumlah kematian disebabkan COPD akan meningkat lebih daripada 30 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang kecuali tindakan segera diambil untuk mengurangkan faktor penyakit itu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia, Prof. Dr. Roslina Manap berkata, kebiasaannya penyakit tersebut akan menyerang perokok tegar yang berumur melebihi 40 tahun.

“Simptom awal penyakit ini biasanya tidak menunjukkan seseorang itu menghidap penyakit yang berbahaya seperti batuk, kesukaran bernafas, keletihan dan peningkatan pengeluaran mukus,” katanya sambil memberitahu ujian spirometri akan dapat mengesan tanda-tanda awal penyakit itu.

Mengulas lanjut mengenai penyakit itu, beliau berkata, biarpun tiada penawar namun, COPD boleh dicegah dan boleh dirawat iaitu dengan berhenti merokok.

Walau bagaimanapun, mereka yang terdedah dengan kawasan berhabuk atau berasap juga tidak terkecuali berisiko menghidap penyakit itu.

Namun demikian apa yang pasti, tahap kesedaran rakyat di negara ini mengenai bahaya penyakit itu masih rendah sedangkan, ia sebenarnya membunuh lebih ramai pesakit di seluruh dunia berbanding HIV dan AIDS.

Sumber Kosmo -Pesona

No comments: