Partime Job

Tuesday 21 February 2012

Anak bermain dengan toksik


KEBANYAKAN alat mainan memang nampak menarik, tetapi awas, ada yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada anak anda.

Ia mungkin bahaya kerana mempunyai bahagian kecil yang mudah tertelan, manakala yang lain pula boleh menjadi penyebab kanser.

Kesedaran masyarakat negara ini terhadap keselamatan alat mainan kanak-kanak masih pada tahap rendah.

Ini dapat dilihat apabila masih ramai pengguna membeli alat mainan berdasarkan rupanya yang cantik, bentuk yang canggih, warna dan juga mengikut trend semasa.

Bagi mereka, alat mainan kanak-kanak adalah medium hiburan dan penjanaan kepada daya imaginasi anak kecil dan tidak mungkin ia boleh mendatangkan bahaya.

Walhal sudah pelbagai kemalangan dan bahaya kesihatan yang berpunca daripada alat mainan kanak-kanak dilaporkan dalam media, khususnya antarabangsa. Namun, masih ramai yang memandang ringan.

Mereka masih tidak peduli walaupun berita berhubung rampasan dan penarikan balik alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat turut tersebar luas di media seperti apa yang berlaku di Victoria, Australia, sebelum sambutan Hari Natal yang lalu.

Dilaporkan, lebih 10,000 alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat dirampas dan dimusnahkan di Victoria.

Senario kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan isu keselamatan alat mainan kanak-kanak, berkemungkinan disebabkan Malaysia baru sahaja menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak berbanding negara maju.

Dengan adanya peraturan ini yang dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2010, sedikit sebanyak akan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan alat mainan.

Melalui penguatkuasaan ini, semua alat mainan yang dikeluarkan syarikat tempatan atau luar negara diwajibkan menjalani proses penilaian dan pengujian sebelum diletakkan tanda Malaysian Conformity (MC).

Menerusi peraturan berkaitan, pengilang, pengimport dan pembungkus semula alat mainan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dibekal dan dijual di Malaysia.

Dalam erti kata lain, semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembekalan dan penjualan alat mainan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mematuhi peraturan ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggerakkan usaha bersepadu dengan melancarkan pelbagai kempen kesedaran menerusi media Massa.


Kakitangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nur Izza Osman berkata, tidak terlintas dalam pemikirannya bahawa alat mainan yang rendah kualiti boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

"Saya mengetahui tanda MC selepas menonton iklan berkenaan di televisyen baru-baru ini. Sebelum ini, saya membeli alat mainan berdasarkan kepada tarikan fizikal berbanding melihat sama ada ia mempunyai tanda MC," katanya.

Memudaratkan kesihatan

Pelbagai bahan yang digunakan untuk membuat alat mainan kanak-kanak termasuk bahan kimia didapati berupaya memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Ini ditambah pula dengan tabiat semula jadi kanak-kanak yang suka menghisap.

Masalah timbul apabila mereka menghisap sesuatu alat mainan yang mengandungi bahan kimia lebih daripada sepatutnya.

Ini secara tidak langsung, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko pertumbuhan sel kanser, kata Ketua Farmasi, Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Amrahi Buang.

"Sebagai contoh, alat permainan yang mempunyai unsur plumbum (fungsi plumbum dalam cat untuk menjadikan warna terang dan tidak pudar) boleh meresap masuk ke dalam badan jika kanak-kanak bermain atau menghisapnya.

"Dicampur pula dengan apa yang dimakan semasa proses pembesaran anak-anak itu, ada risiko bagi mereka terdedah kepada kanser," ujarnya.

Kimia seumpama itu juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit paru-paru, gangguan sistem saraf, alergik dan pelbagai lagi.

Keselamatan alat mainan juga meliputi pemilihan bahan, rupa bentuk, saiz dan bunyi alat itu. Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standard Users) Ratna Devi Nadarajan berkata, adalah penting bagi ibu bapa mengetahui label peringkat umur pada sesuatu alat mainan sebelum membelinya.

Katanya, membeli alat mainan yang tidak sesuai dengan peringkat umur secara tidak langsung boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan termasuk bahaya tercekik.

Berdasarkan laporan kajian tahunan The 2011 Trouble in Toyland oleh Kumpulan-Kumpulan Penyelidikan Kepentingan Awam Persekutuan Amerika Syarikat (PIRG), kes kanak-kanak tercekik akibat tertelan bahagian mainan kecil, contohnya guli, terus menjadi punca utama kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian itu melaporkan seramai 200 kanak-kanak mati akibat tercekik antara tahun 1990 sehingga 2010.

"Alat mainan yang kurang mutu (tidak mempunyai tanda MC) seperti patung beruang akan terdedah kepada bulu dan butang yang senang tertanggal. Ini berbahaya apabila kanak-kanak ini memasukkannya ke dalam mulut.

"Lebih berbahaya apabila membeli alat permainan elektrik yang berkemungkinan meletup," katanya.

Elakkan daripada ditipu

Biarpun Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2010, ia dibuat secara berperingkat berikutan masih terdapat penggiat industri berkenaan kurang maklum akan keperluan peraturan yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan KPDNKK, Rashinah Abdul Hamid, semua alat mainan yang tidak mempunyai tanda MC akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 bermula tahun ini.

"Kementerian sudah lama berunding dengan industri sejak tahun 2008 mengenai keperluan mempunyai tanda MC. Ini kerana, bukan semua (penggiat) membaca akhbar dan menonton berita. Jadi apabila ditanya sama ada mereka tahu atau tidak mengenai MC, segolongan mereka mengatakan 'tidak'.

"Disebabkan itulah kami buat secara berfasa dan tempoh masa peralihan diberikan. Ketika ini, KPDNKK melakukan penguatkuasaan berhemah, iaitu sebanyak 59,964 buah premis seluruh negara diperiksa," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan terdapatnya label MC tiruan, Rashinah memberi dua tip berguna. Pertama, pastikan warna abjad MC itu sama ada hitam atau putih.

Berikutnya, pastikan terdapat nombor pendaftaran di bawah logo MC dan alamat pengilang, pengimport ataupun pembungkus semula ada tertera di bungkusan alat permainan kanak-kanak berkenaan.

Sebagai pengguna, mereka tidak sewajarnya mengandaikan semua barang yang terdapat di rak adalah selamat. Mentaliti sedemikian seharusnya diubah apatah lagi apabila membabitkan perkara yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Kanak-kanak belum dapat mengenal dan membezakan mana yang selamat dan sebaliknya. Ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada ancaman yang tidak dijangka. - Bernama

No comments: