Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 15 June 2012

Wanita sarat mengandung bertindak ganas



IPOH - Tidak padan dengan keadaan diri yang sedang sarat mengandung tujuh bulan, seorang warga Vietnam bertindak agresif dengan menampar dan menggigit anggota penguat kuasa bagi mengelak ditahan dalam satu operasi mengemis di tapak pasar malam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terpaksa mengambil masa hampir 30 minit untuk menenangkan wanita berkenaan sebelum dibawa untuk siasatan lanjut.

Turut bersama wanita berusia 25 tahun itu, dua kanak-kanak dipercayai anaknya masing-masing berusia dua dan empat tahun.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir berkata, daripada penemuan beberapa bukti, mereka tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan terlibat dalam satu sindiket mengemis di beberapa lokasi pasar malam di kawasan itu.

“Kita turut menemui beberapa nota yang mengandungi nombor telefon, senarai pasar malam dalam tulisan bahasa Malaysia dan wang berjumlah RM320.50 dipercayai hasil kutipan mengemis.

“Dengan penemuan itu, kita anggap kegiatan wanita ini yang diyakini aktif mengemis di beberapa lokasi pasar malam lain dibantu sindiket,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Operasi yang disertai 20 kakitangan JKM dan 15 penguat kuasa MBI itu dijalankan di sekitar Pasar Malam Bercham dan Stadium Ipoh, bagaimanapun tiada tangkapan lain dibuat.

Semalam, Mohd Mahir berkata, ketiga-tiga beranak berkenaan sudah diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, wanita berkenaan memaklumkan sudah kematian suami sejak Mac lalu.

“Kita juga berdepan dengan sedikit kesukaran kerana wanita berkenaan hanya tahu bertutur bahasa ibundanya sahaja.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan seterusnya daripada pihak Imigresen dan sekiranya mereka memerlukan perlindungan, kita akan cuba dapatkan penempatan sementara di mana-mana institusi di bawah jagaan JKM,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada senario pengemis yang mula membanjiri beberapa tapak pasar malam di sekitar bandar raya ini, JKM bersama beberapa agensi lain akan meneruskan operasi sama dari dari masa ke semasa

sumber : sinarharian

No comments: