Partime Job

Friday 15 June 2012

Adab Muslimah bekerja



Islam tidak melarang golongan wanita bekerja mencari nafkah bagi memenuhi keperluan hidup mereka dan juga demi membantu keperluan keluarga. Hal ini disebutkan secara umum dalam al-Quran bahawa ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu, baik laki-laki mahupun perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.” (Surah Ali-Imran : 195)

Bagaimanapun terdapat syarat dan adab yang perlu dipatuhi umat Islam dalam membenarkan Muslimah bekerja agar tidak berlaku fitnah dan kerosakan seperti yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah ada fitnah yang lebih berat bagi lelaki selepas peninggalan ku daripada fitnah wanita.” (Muttafaq Alaih).

Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, perempuan adalah kelemahan lelaki dan sumber kepuasan dan keseronokan bagi golongan tersebut. Melihat perempuan sahaja sudah cukup menggembirakan lelaki apatah pula apabila lelaki dapat bersama wanita dalam urusan pekerjaan mahupun kehidupan.

Menurutnya, demi menjaga kehormatan dan kesucian kaum wanita, maka terdapat tujuh syarat dan adab yang penting yang perlu diperhatikan bagi Muslimah dalam pekerjaan.

“Pertama wanita tidak mengabaikan ibadah dan kewajipan syarak yang ditetapkan ALLAH SWT dan Rasul-Nya seperti bertauhid, menjauhi syirik, mendirikan solat, puasa, zakat, haji, menutup aurat dan menuntut ilmu.

“Kedua, pekerjaan tersebut bukanlah pekerjaan yang haram dan menyalahi syariat Islam atau menyumbang kepada sesuatu yang haram ataumembahayakannya. Tidak boleh bagi lelaki dan
perempuan melakukan sesuatu pekerjaan yang menyalahi syariat Islam atau terlibat dalam menyumbang kepada sesuatu yang haram,” katanya kepada penulis.


Tugas fitrah

Emran berkata, pekerjaan itu hendaklah tidak menghalang tugas fitrah Muslimah sebagai isteri dan ibu. Di samping itu, dia bertanggungjawab di sisi agama untuk melayani suami dan keluarganya melebihi tanggungjawabnya lain selain menyembah ALLAH SWT.

“Fitrah maksudnya semula jadi dan ketetapan asal yang dijadikan ALLAH secara fizikal dan mental bagi wanita termasuk keperluan hormon serta kejiwaannya. Doktor dan pakar perubatan menyebutkan bahawa banyak keburukan terjadi ke atas wanita yang tidak menyusukan anaknya termasuk risiko kanser payu dara,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi awam berkata, hendaklah pekerjaan yang diceburi itu tidak memberikan tekanan kepada seorang perempuan atau menyekatnya daripada berkahwin (jika belum) dan melahirkan anak. Hal yang sedemikian adalah kewajipannya terhadap agama, fitrah dan keluarga.

“Ramai wanita berkerjaya hari ini melewatkan perkahwinan kerana terikat dengan kerja dan situasi pekerjaan yang tidak memberi sokongan kepada perkahwinan. Hal ini tidak bagus khususnya kepada wanita yang mempunyai tempoh terhad untuk melahirkan anak iaitu sebelum umur 40 tahun (menopaus) dan pakar perubatan menyebutkan bahawa perkahwinan lewat memberi risiko anak cacat dan ketidaksuburan serta pelbagai lagi keburukan,” katanya.

Antara lain syarat perlu diberi perhatian adalah mengutamakan bernikah dan menetap diri di rumah (tidak bekerja) jika berkemampuan, kecuali jika ada keperluan dan kepentingan terhadap keluarga, agama dan masyarakat.

“Seeloknya bagi wanita perlu elakkan diri daripada bercampur dengan lelaki. Bahkan lebih afdal bagi wanita untuk bersolat di rumahnya berbanding di masjid. Selain itu bagi anak gadis adalah menjadi auwlawiyat (keutamaan) untuk mendahulukan nikah dan perkahwinan sebelum pekerjaan.

"Mereka yang belum bernikah maka nafkah dirinya adalah di bawah tanggungjawab wali mereka kecuali kerana kemiskinan dan walinya tidak mampu,” katanya.


Batasan pergaulan

Bagi yang ingin bekerja juga, Emran berkata, perlu menjaga batasan pergaulan dengan kaum lelaki dan tidak berhubung kecuali atas keperluan dan pekerjaan. Menurutnya, ALLAH menetapkan bahawa lelaki dan wanita harus menjaga batasan dan tidak berhubung kecuali dalam hal yang dibenarkan. Wanita hendaklah menundukkan pandangan dan mengelak diri daripada bertembung dengan lelaki atau bersama mereka bersendirian yang boleh menimbulkan fitnah.

“Hal ini bermaksud adab seorang perempuan itu dengan memelihara dirinya daripada bergaul bebas dengan lelaki seperti makan sekali, berjalan berdua-duaan, menaiki kereta dan kenderaan yang sama tanpa mempunyai ikatan yang sah.

"Perbualan yang tidak membawa manfaat dan keperluan hendaklah dielakkan kerana sesungguhnya dosa zina itu selalunya bermula dengan penglihatan dan percakapan,” katanya.

Wanita itu perlulah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga cara berpakaian, perbuatan dan perbicaraan serta pergerakan mereka apabila berada di hadapan bukan mahram serta di luar rumah.

“Hendaklah wanita yang bekerja menutup aurat dengan sempurna dan menjaga bahagian anggota badannya daripada pandangan lelaki. Ini kerana sesetengah wanita memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan mereka dan hal itu ialah haram,” katanya.

Satu lagi perkara yang selalu dipandang enteng oleh wanita ialah larangan memakai minyak wangi dan haruman yang kuat dan boleh dihidu lelaki. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi mendapat dosa zina." (Riwayat Tirmizi dan Ahmad - hasan)

Kesimpulannya, Islam membezakan peranan lelaki dan perempuan. Ini ditegaskan sebagaimana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan ALLAH lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki itu tidaklah sama seperti anak
perempuan.” (Surah Ali-Imran : 36)

sumber : sinarharian

No comments: