Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 15 June 2012

Perlu mengesot bantu isteri



BALING - “Saya redha ketentuan ini, walaupun dia buta malah mempunyai masalah pendengaran, saya tetap akan bersamanya sampai bila-bila,” kata Samsudin Desa, 72, suami kepada Putih Chendra, 83, yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran sejak beberapa tahun lalu.

Pasangan yang berasal dari Kampung Jenalik Siput itu hanya menghabiskan masa mereka di rumah selain bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Samsudin berkata, masalah yang dihadapi pasangannya itu bukan merupakan penghalang baginya untuk memberikan kasih dan sayang sepenuhnya kepada isterinya itu.

“Saya terpaksa bercakap kuat dengan isteri kerana pendengarannya kurang jelas. Mungkin jiran ingat kami bergaduh, tapi saya terpaksa tinggikan suara. Kalau tak, dia (isteri) tak dengar,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ayah kepada tiga anak ini berkata, masyarakat setempat sering menjenguk keluarganya bertanya khabar.

“Alhamdulillah, jiran amat prihatin kepada saya dan isteri. Anak-anak semua telah berkeluarga dan ada kehidupan mereka sendiri, Namun, mereka tetap menjenguk saya.

“Saya dan isteri lebih suka tinggal di rumah ini. Di sini lebih tenang dan selesa,” katanya.

Walaupun Samsudin turut berhadapan masalah kesihatan antaranya darah tinggi dan sakit lutut, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

“Saya sediakan semua makan dan minum isteri termasuk memandikannya. Itu rutin harian saya. Tiap pagi, saya memasaknya bubur. Kadang-kala ada juga jiran dan anak angkat menghulurkan makanan,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur masih mampu bergerak walaupun terpaksa mengesot ke sesuatu tempat.

“Saya akan gunakan tongkat mahupun kerusi roda sekiranya ingin bergerak ke suatu tempat. Kadang-kala memang terasa sukar, tetapi saya dah biasa dengan kehidupan begini.

“Sekurang-kurangnya anggota lain terutama penglihatan saya masih baik untuk menguruskan isteri” katanya.

Samsudin berkata, dia sering berdoa akan dipanjangkan umurnya agar dapat terus berbakti kepada isterinya itu.

“Terlalu banyak pengorbanannya kepada saya sebelum ini. Jadi, giliran saya pula untuk menjaganya,” kata Samsudin.

sumber : sinarharian

No comments: