Partime Job

Friday 15 June 2012

Parkir kereta dalam rumah

KULIM - Pelbagai cara dilakukan oleh pemilik kenderaan untuk memastikan kereta mereka berada dalam keadaan selamat berikutan kejadian pecah cermin kereta yang semakin berleluasa di sekitar taman perumahan di sini.

Lensa Sinar Harian tertarik dengan cara yang digunakan seorang pemilik kenderaan yang meletakkan keretanya di dalam rumah.

Pemilik Perodua Kelisa berusia 27 tahun itu berkata, sebelum ini cermin keretanya pernah dipecahkan dan beberapa barangan berharga turut dilarikan.

Fobia dengan kejadian itu, dia mengambil inisiatif untuk meletakkan kereta kesayangannya di bahagian ruang tamu rumah.

Pemilik yang enggan namanya disiarkan berkata, dengan cara itu dia dapat mengelak keretanya dari dikhianati oleh penjenayah atau kutu rayau.

“Cermin kereta saya pernah dipecahkan. Saya tidak membuat laporan polis, kerana tahu pencuri yang melakukan khianat itu pastinya akan menjual barangan yang diambil kepada orang lain.

“Saya bukan sahaja mengalami kerugian kerana kehilangan komputer riba, tetapi terpaksa memperbaiki cermin kereta yang pecah,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, sehingga kini beberapa taman perumahan yang sering menjadi lokasi sasaran sudah dikenal pasti antaranya Taman Kemuning, Taman Kempas, Taman Senangin, Taman Jati dan beberapa taman perumahan lain.

Menurutnya, beliau menasihatkan supaya pengguna dan pemilik kenderaan supaya tidak meletakkan barangan berharga seperti komputer riba, beg tangan dan sebagainya di dalam kereta.

“Sehingga kini, PPKM dan polis berjaya menahan beberapa suspek terlibat dalam kegiatan ini tetapi masalah sama masih berlaku.

“Dari tangkapan dibuat, kumpulan yang melakukan jenayah pecah cermin kereta ini akan melastik cermin kereta mangsa terlebih dahulu.

Sekiranya alat penggera kereta tidak berbunyi, mereka akan menghampiri kereta itu dan memecahkan cermin kereta dengan menggunakan kayu,” katanya.

Eng Khim menasihatkan supaya pemilik kereta meletakkan kereta mereka di kawasan lapang, di mana ia mudah dilihat.

sumber : sinarharian

No comments: