Partime Job

Friday 15 June 2012

26 hari tidak tidur lena



TITI SERONG - Seorang warga emas berhadapan detik mencemaskan diganggu serangan api misteri di kediamannya selama lebih sebulan lalu menyebabkan jiran-jiran terdekat tidak tidur lena lebih 26 hari menjaga kebakaran daripada merebak.

Aishah Idris, 64, dari Jalan Haji Musa dekat sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari awal bulan lalu apabila api misteri itu muncul tiba-tiba dan membakar sebuah sofa di bahagian beranda rumah.

Menurutnya, kejadian itu disedarinya yang kebetulan sedang memasak di dapur rumah sebelum disusuli dengan kejadian aneh tingkap bahagian hadapan rumah pecah seolah- olah dibaling batu.

“Saya sangat terkejut lihat api itu, lalu segera ambil air untuk padamkannya daripada merebak.

“Lebih mengejutkan, selang beberapa minit selepas api misteri dipadamkan, secara tiba-tiba tingkap rumah saya pecah seolah-olah dibaling batu,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pernah melaporkan kejadian api misteri berkenaan namun kejadian aneh terus menghantui Aishah.

Katanya, kejadian aneh yang berlaku apabila masakannya secara tiba-tiba ‘hilang’ bersama kuali.

Menurutnya, kejadian itu menjadi semakin kerap sehingga ada satu masa kuah gulai ikan sembilang turut bertukar menjadi warna merah seperti darah.

“Selepas kejadian aneh itu, kebakaran disebabkan api misteri semakin kerap berlaku dan ia lebih teruk sehingga merosakkan hampir keseluruhan rumah saya.

"Sangkaan saya kejadian itu sudah berakhir, namun ia berulang dengan membakar tilam, almari dan dua set sofa sehingga menyebabkan bomba dipanggil lebih dua kali dalam tempoh kejadian," katanya.

Menurutnya, jiran-jiran yang mengetahui kejadian itu akhirnya mengambil tugasan bergilir-gilir memantau kebakaran selama 26 hari kerana bimbang api itu merebak ke rumah mereka.

“Walaupun ditimpa kejadian misteri itu, saya tidak akan meninggalkan rumah itu kerana ia adalah rumah peninggalan arwah suami,”katanya.

Dia yang menumpang tidur di rumah anaknya akan datang ke rumah berkenaan pada setiap pagi untuk membersihkan sisa perabot dan bahagian rumahnya yang terbakar.

Sementara itu, anak saudara Aishah, Mohd Rosli Ab Rahim,36, berkata, kejadian aneh itu bukan sahaja merosakkan harta-benda rumah ibu saudaranya itu, malah turut menjejaskan rumah sepupunya yang terletak di belakang rumahnya.

Menurutnya, kejadian itu sudah menjadi satu fenomena pelik di kampung itu sehingga menyebabkan rumah ibu saudaranya dikunjungi lebih sepuluh orang pengamal perubatan tradisional dan Islam yang menawar diri untuk menyelesaikan masalah api misteri itu.

“Sejak kejadian itu menjadi kritikal, rumah ibu saudara saya tidak putus-putus dikunjungi pelbagai pengamal perubatan yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah api misteri itu.

“Syukur alhamdulillah, keadaan rumah ibu saudara kembali tenang sejak seminggu lalu setelah mendapat bantuan daripada seorang pengamal perubatan Islam dari Bagan Serai.

“Kami sekeluarga berharap kejadian aneh itu tidak berulang kembali kerana ianya merupakan mimpi ngeri untuk kami sekeluarga selain menyebabkan timbul pelbagai fitnah ke atas ibu saudara saya,”katanya.

Bagi seorang lagi anak saudara, Rosnani Hashim,29, berkata, sepanjang lebih 20 tahun mendiami rumah itu, ini merupakan pertama kali berlakunya kejadian yang dianggap pelik serta penuh misteri.

Menurutnya, kos kerugian yang dialami ibu saudaranya dijangkakan lebih RM20,000 berdasarkan keadaan siling dan banyak perkakas rumah yangmusnah dijilat api misteri sepanjang lebih sebulan lalu.

“Saya berharap kejadian malang itu mendapat perhatian pihak terlibat terutama Kerajaan Negeri selain memberi bantuan sewajarnya untuk membolehkan rumah itu dibaiki semula,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: