Partime Job

Friday 4 May 2012

Terpukau animasi Dragon Ball


Apabila bersembang pasal animasi, pasti ada peminat yang memilih animasi Naruto, Dragon Ball dan Bleach untuk ditonton di kaca televisyen. Golongan muda terutamanya kanak-kanak mengambil tempat di barisan hadapan sekali semata-mata mahu melihat lebih dekat cerita berkenaan.

Begitulah hebatnya penangan siri animasi yang datangnya dari Jepun dan Korea itu yang kini telah menguasai banyak stesen televisyen di negara ini.

Roszaidi Zainal Abidin, 25 merupakan penggemar setia animasi Dragon Ball @ Mutiara Naga. Tiap kali cerita itu bersiaran, dia akan terpaku di hadapan televisyen sambil mengunyah makanan ringan kegemarannya.

Menurutnya, minat terhadap rancangan animasi Jepun itu tercetus sejak dia kecil lagi. Baginya, antara watak dalam Dragon Ball, dia paling tertarik dan teruja pada watak utamanya iaitu Goku.

“Goku mempunyai banyak kelebihan seperti miliki seni bela diri yang seterusnya berjaya membina kekuatan dan kelebihan daripada pelbagai teknik. Misalnya, dia mampu terbang, kekuatannya berganda dan tenaga auranya kian bertambah. Pertambahan tenaganya ini adalah hasil dari usaha dan kesungguhan Goku sendiri untuk berlatih bersama guru yang hebat atau secara sendiri apabila menyedari ada musuh yang kuat untuk ditentang,” katanya dengan panjang lebar.

Berdasarkan apa yang diperkatakan Roszaidi itu, penulis percaya jika ada yang bertanyakan siapakah adiwira pilihannya, sudah tentu jawapannya adalah Goku.

“Ya, Goku adiwira pilihan saya. Saya betul-betul fanatik pada watak itu. Goku miliki banyak kelebihan dari segi fizikal dan mental," ujarnya.


Tidak pernah bosan

Menurut Roszaidi, selain tidak sabar menonton siri kegemaran, Dragon Ball di kaca televisyen, dia juga tidak sabar untuk menambah koleksi komik Dragon Ball yang dikumpulnya sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, komik Dragon Ball adalah komik terbaik sepanjang zaman yang pernah dibacanya setakat ini. Walaupun sudah bertimbun-timbun komik berkenaan memenuhi sudut almari di bilik tidurnya, Roszaidi tetap teruja untuk terus mengumpulnya.

“Ada yang cakap saya bazirkan duit beli komik itu. Daripada membelinya, mereka kata lebih baik baca komik berkenaan di perpustakaan sekolah mahupun pinjam dengan rakan taulan.

“Saya tak ambil pusing dengan pendapat mereka memandangkan ini hobi saya dan ia memberikan kepuasan,” katanya yang turut mengumpul komik Doraemon, Pedang Setiawan @ Storm Rider dan Pendekar Laut sehingga kini.

Apabila sudah fanatik pada sesuatu, apa sahaja yang berkaitan dengannya pasti akan dikumpul walau dalam apa jua situasi. Begitu halnya dengan Roszaidi.

Selain teruja mahu tonton Dragon Ball dan membeli seberapa banyak komik berkisar animasi itu, dia juga sanggup membeli kad bersinar Dragon Ball dan kini memiliki beberapa album yang memuatkan kad berkenaan. Kebanyakan kad bersinar itu mempunyai gambar Goku yang membuat bola jiwa.

Sepanjang pengumpulannya itu, ada beberapa peminat Goku berminat dan ingin membelinya dengan harga yang mahal. Namun dia tolak tawaran berkenaan dengan baik kerana kad bersinar Dragon Ball yang dikumpulnya itu sangat cantik dan sukar untuk didapati.

Dalam pada itu, Roszaidi turut mengumpul koleksi cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) Dragon Ball yang ada antaranya dihadiahkan saudara-mara dan sahabat handai.

“Kerap kali juga rakan bagi hadiah CD dan DVD animasi ini pada saya. Memang seronok sangat. Ada sahaja masa terluang, saya akan isi dengan menonton CD dan DVD Dragon Ball.

Saya tak pernah berasa bosan melakukan aktiviti sebegini kerana itulah kehidupan yang saya inginkan,” ujarnya.


Rakan sehati sejiwa

Sebagai menggambarkan fanatiknya jejaka ini pada watak Goku, pemakaian cosplay (kostum watak) Goku akan digayakan setiap kali program berkaitan anime berlangsung.

Misalnya, ketika penulis membuat liputan Karnival Animasi dan Maskot 2012 anjuran SACC Mall baru-baru ini, kelihatan kelibat Roszaidi memakai cosplay Goku dan dia begitu gembira dengan apa yang dilakukan.

Ketika penulis mendekatinya ternyata Roszaidi teruja untuk menyatakan bahawa penyertaannya dalam karnival berkenaan adalah kepuasan berganda yang amat berharga.

“Kepuasan di sini apabila diberi peluang menjadi pengacara bersama Naruto. Memang best. Sekurang-kurangnya saya boleh serlahkan bakat dan kemampuan saya berinteraksi di hadapan orang ramai,” ujarnya.

Roszaidi cukup bertuah kerana memiliki himpunan sahabat yang mempunyai minat yang sama dengan dirinya. Jelas jejaka ini, tiap kali dia ingin membeli apa sahaja barangan berkaitan animasi Dragon Ball seperti cosplay, aksesori, komik atau apa sahaja, kesemua sahabatnya akan turut serta menemaninya.

“Mereka rakan setia. Kadang-kadang kami berkongsi idea dan bercanggah pendapat mengenai pembelian produk Dragon Ball terutamanya barangan Goku. Memang lucu bukan,” katanya sambil ketawa.

sumber : sinarharian

No comments: