Partime Job

Monday 2 April 2012

Warga emas 2020 dijangka cecah 3.2 juta


GEMAS – Jumlah warga emas iaitu individu berusia 60 tahun ke atas dijangka mencecah seramai 3.2 juta atau 9.5 peratus daripada penduduk negara ini menjelang 2020, berbanding 2.1 juta (7.3 peratus) pada 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Zainab Nasir berkata, jumlah berkenaan dijangka meningkat 15 peratus daripada penduduk di negara ini menjelang 2030.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu menambah kegusaran pihak kerajaan dalam usaha menangani masalah kecenderungan masyarakat masa kini yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan.

“Kerajaan Negeri menyahut saranan perlaksanaan Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas yang baru sahaja dilancarkan bagi memastikan masyarakat menyedari tanggungjawab mereka menjaga orang tua masing-masing.

“Kita harap anak-anak tidak memandang remeh mengenai penjagaan ibu bapa masing-masing dan tidak meletakkan tanggungjawab berkenaan kepada kerajaan,” katanya sempena Majlis Meraikan Warga Emas Dewan Undangan Negeri (Dun) Gemas di Dewan Besar Gemas, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Gemas, Anirwan Fauzee Mohd Aini dan Pengerusi Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan (KK) Gemas, Zainudin Harun.

Sempena program berkenaan, seramai kira-kira 250 warga emas dari sekitar Dun Gemas diraikan dan diberikan sumbangan.

Sementara itu, Zainab berkata, sememangnya usaha membantu meringankan beban warga emas yang kurang berkemampuan dapat dilihat melalui penyaluran Bantuan Orang Tua (BOT) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM300 pada setiap bulan.

“Di Parlimen Tampin ini, Dun Gemas muncul sebagai Dun yang mencatatkan penerima BOT paling ramai iaitu hampir 300 orang dan bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada bantuan kerajaan dalam menghargai golongan berkenaan,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: