Monday, 2 April 2012
Rumah terbakar gara-gara tidak tutup suis
SHAH ALAM - Gara-gara suis pemanas air tidak ditutup, sebuah rumah hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat lima perumahan flat di Jalan Plumbum, di sini, semalam.
Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zamri Omar berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak sempat merebak ke bahagian lain dalam rumah kerana kejadian disedari jiran yang terlihat kepulan asap keluar dari bahagian dapur rumah terbabit.
Beliau berkata, mereka kemudiannya menghubungi bomba memaklumkan kejadian pada jam 9.04 pagi, sebelum dua jentera bersama 11 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, bomba tiba kira-kira enam minit kemudian, namun mengalami kesukaran untuk masuk ke dalam rumah kerana tiada penghuni.
“Kita terpaksa pecahkan jeriji rumah untuk masuk dan berjaya memadamkan api yang sudah membakar hampir keseluruhan bahagian dapur.
“Siasatan awal dapati punca kebakaran bermula dari suis pemanas air yang tidak ditutup sebelum merebak dan merosakkan beberapa barangan elektrik lain termasuk peti ais serta dinding dapur,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd Zamri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni keluar bekerja ketika kejadian berlaku,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment