Partime Job

Monday, 2 April 2012

Bandar Kuantan dilanda ribut


KUANTAN - Beberapa kawasan di sekitar bandar ini dilanda ribut dan hujan lebat mengakibatkan tujuh kejadian pokok tumbang dilaporkan malam kelmarin.

Kejadian sekitar jam 9 malam itu turut membabitkan kerosakan harta benda, namun tiada kecederaan berlaku.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima tujuh laporan pokok tumbang termasuk di Jalan Semambu dan Jalan Beserah.

Manakala katanya, dalam satu kejadian di Alor Akar di sini, sebuah rumah dan sebuah kereta rosak akibat dihempap pokok, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Laporan pertama diterima sekitar jam 9.35 malam, manakala laporan terakhir pada jam 12.15 pagi semalam.

“Anggota bomba bersama jentera dari Balai Kuantan dan Indera Mahkota dikerah menjalankan kerja-kerja membersihkan pokok tumbang yang melintangi jalan hingga mengganggu lalu lintas,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah sebenar kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan, bagaimanapun kerosakan harta benda akibat kejadian ribut itu tidak serius.

Hasil tinjauan Sinar Harian malam tadi juga mendapati sebuah khemah kedai menjual kereta terpakai di jalan Alor Akar roboh lalu menghempap kenderaan di bawahnya.

Sementara itu, beberapa gerai termasuk sebuah gerai makan di tepi Jalan Beserah turut ranap.

Operasi perniagaan di Midtown Taman Esplanade juga terjejas apabila puluhan gerai menjual pelbagai barangan dibasahi air hujan.

Malah, Program Pelancaran Kelab Dewan Muda Pahang yang bakal dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Ishak Muhammad terpaksa dibatalkan akibat cuaca tidak mengizinkan.

Seorang peniaga barang mainan dikenali sebagai Ina, 35, berkata, dia selesai menyusun barangan jualan kira-kira jam 9 malam sebelum berlaku hujan lebat diikuti angin kencang.

Menurutnya, banyak barangan jualannya basah dan rosak, namun dia bersyukur kerana tiada perkara lebih serius berlaku.

“Kejadian ini bukan pertama kali dihadapi peniaga di sini, malah ada kejadian lebih teruk,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: