Partime Job

Monday, 2 April 2012

Nahas lori, treler di awal pagi


NILAI - Seorang lelaki maut selepas lori membawa mua­-tan biskut dipandunya merempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 43.4 Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa Wan Mohamad Lokman Moha­mad Zin, 34, mengalami kecederaan parah akibat tersepit dalam kenderaannya, sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Shah Alam untuk menghantar biskut berkenaan.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa yang berada di laluan paling kiri dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan tekstil di laluan sama.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan teruk di kepala dan tulang rusuk sebelum berjaya dibawa keluar angota bomba,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Felda Palong 8, Gemas, dipercayai mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Kata jurucakap, pemandu treler yang membawa muatan tekstil berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, nenek saudara mangsa, Ramlah Tadak, 48, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 8 pagi (semalam).

“Saya difahamkan arwah baru sahaja bekerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat di Johor sejak beberapa bulan lalu.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya beberapa bulan lalu selepas dia datang menziarah saya di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HTJ, Seremban semalam.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Wan Mohamad Lokman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 8.

sumber : sinarharian

No comments: