Partime Job

Monday, 2 April 2012

Kereta bertembung putus dua


ALOR GAJAH - Sebuah kereta dinaiki dua beradik putus dua selepas terbabit delam kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ) Rembia, berhadapan Taman Rembia Perkasa, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Soo Yong Sen dan adik perempuannya, Soo May Zina, kedua-dua berusia sekitar 20-an, cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Melaka hilang kawalan, lalu terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic.

Sementara pemandu Honda Civic, Salehuddin Ishak, 42, bersama anaknya, Safahaziq Salehuddin, 12, bagaimanapun terselamat dengan bantuan beg udara dalam kenderaan yang dinaiki mereka.

Saksi kejadian, Azlisham Ismail, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter.

“Saya berlari naik ke tebing jalanraya selepas terdengar bunyi dentuman kuat. Saya lihat Proton Iswara tadi sudah terputus dua antara bahagian enjin dengan badan kereta.

“Manakala, dua remaja tadi sudah tercampak ke tengah jalanraya berdekatan bahagian badan kereta dinaiki mereka,” katanya.

Azlisham berkata, remaja perempuan berkenaan meraung kesakitan, manakala abangnya dilihat terbaring berdekatan.

“Beberapa orang awam dan pengguna jalanraya berhenti membantu mengangkat kedua mangsa ke atas rumput pembahagi lebuh AMJ itu,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Azlisham berkata, kedua beradik itu kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sementara itu, katanya, dua beranak masih berada dalam Honda Civic dengan tali pinggang keledar masih terpasang dan diselamatkan dengan beg udara.

“Saya bergegas mendapatkan dua beranak tadi yang hanya mendiamkan diri. Bagaimanapun, kedua-duanya mampu berjalan sambil dibantu beberapa orang ramai menumpang berehat di rumah seorang penduduk berdekatan,” katanya.

Menurutnya, kedua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Salehuddin ketika ditemui di Hospital Alor Gajah berkata, dia dalam perjalanan pulang dari Bukit Rambai menuju ke Tol Simpang Ampat untuk pulang bertemu isterinya di Kuala Lumpur.

Dia yang bekerja sebagai ahli perniagaan berkata, kejadian berlaku sekelip mata, bagaimanapun bersyukur kerana terselamat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sumber : sinarharian

No comments: