Partime Job

Thursday 12 April 2012

Wanita pengsan kena bola futsal


BENTONG – Seorang bapa terkilan terhadap pengurusan sebuah karnival yang berlangsung di Dataran Bentong pada bar-baru ini yang didakwa mengabaikan soal keselamatan pengunjung.

Bapa terbabit, Helmi Mohamed Hanafiah, 47, berkata, antara jam 9 pagi hingga 11 pagi Ahad lalu, anaknya yang sedang mengandung tiga bulan, Nur Hairin Anisa Abdul Razak, 25, mengunjungi tapak karnival itu.

Namun ketika melalui kawasan pertandingan futsal dan bola jaring, anaknya terkena bola futsal ditendang pemain dari dalam gelanggang.

“Ia berikutan gelanggang futsal itu tidak dilengkapi ciri keselamatan kerana kawasan sekelilingnya tidak mempunyai pagar atau jaring untuk menghalang bola terkena pengunjung.

“Susulan kejadian itu, anak saya pengsan. Namun penganjur tidak mengambil sebarang tindakan, malah tiada sebarang bantuan kecemasan disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Helmi berkata, anaknya dibawa ke Hospital Bentong dengan bantuan orang awam dan diberi rawatan di Unit Kecemasan.

Menurutnya, anaknya dibenarkan pulang dan dinasihati datang segera ke hospital sekiranya berlaku pendarahan atau komplikasi.

“Selepas kejadian itu, anak saya ada mengadu sakit di bahagian perut. Berikutan bimbang terhadap keselamatannya, saya membuat laporan polis untuk mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Helmi berkata, selain menyediakan kawasan pertandingan dilengkapi jaring, penganjur juga perlu menyediakan pasukan kecemasan untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menurutnya, kejadian itu perlu dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang memandangkan karnival tersebut akan diteruskan ke semua daerah.

“Saya kesal kerana penganjur gagal menyediakan persekitaran selamat kepada pengunjung. Sehubungan itu, saya amat berharap penganjur peka mengenai permasalahan itu dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: