Partime Job

Thursday 19 April 2012

V60 unik


Volvo sentiasa mengutamakan tahap keselamatan tertinggi dan merupakan antara pengeluar kereta paling selamat di dunia. Dilengkapi ciri keselamatan premium kadang kala rekaan luaran yang ditampilkan sedikit membosankan.

Namun, barisan model 60 keluaran Volvo mengetepikan stigma tersebut kerana reka bentuk cukup menarik lari daripada rekaan tipikal. Rekaannya lebih sporty seperti yang ditampilkan pada S60 dan juga model SUV (kenderaan utiliti sukan) yang mendapat sambutan hangat, XC60.

Kehadiran ahli barunya, V60 mengukuhkan lagi imej unik keluarga 60. Menggunakan platform S60, wajah yang ditampilkan sporty dan garang, tidak hairanlah ia dipanggil Sportswagon V60.

Reka bentuk yang menarik itu, menghapuskan terus gelaran ‘kereta mayat’ yang sering digelar kepada jentera wagon tiap kali terserempak di jalan raya. Kombinasi sporty dan ciri-ciri keselamatan mewah menjadikan V60 begitu dinamik berbanding model-model terdahulu.

Reka bentuk lebih menonjol dengan garis bumbung yang menyerupai reka bentuk lazim pada kereta coupe dipadankan dengan rekaan profil bahagian sisinya yang unik membentuk dua lapis alur bagi garis badan, bermula dari lampu utama hingga ke lampu belakang.

Rekaan bonet serta ruang gantungan yang rendah di bahagian depan dan juga belakang turut membantu memberi imej sukan yang lebih ketara.

Sementara bahagian kabin pula, begitu mewah dengan perincian pada reka bentuknya memudahkan pergerakan pemandu. Setiap alatan dan tombol kawalan termasuk yang di tengah dicondongkan ke arah pemandu untuk memudahkan fokus dan kawalan ketika pemanduan.

Stereng baru dengan tiga kaki terbaru dan dinamik serta tempat duduk sukan yang juga menampilkan rekaan baru memberikan sokongan tambahan sisi. Sementara duduk di bahagian belakang cukup selesa.

Varian yang dipandu uji Pemotoran adalah T5 di mana di bawah bonetnya ia dijana enjin 2.0 liter yang menghamburkan kuasa 240hp dan kilas 320Nm. Pecutan sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dicatatkan 7.7 saat dengan pecutan kemuncak 230km/j. Selain T5, V60 turut didatangkan dengan pilihan T4 dengan sesaran enjin 1.6 liter.

Meluncur laju di lorong kanan lebuh raya, pasti akan ada lirikan mata dari pengguna jalan raya bersebelahan. Rekaan unik, prestasi yang mengagumkan, V60 cukup selesa memecut di jalan raya. Malah penjimatan petrol juga tidak mengecewakan.

Pemanduan yang sedikit lembut tidak begitu merosakkan keselesaan tetapi ketika anda memandu laju di lebuh raya apabila melalui selekoh sistem suspensi kurang meyakinkan. Di mana akan berasa kenderaan sedikit membuang di bahagian kiri, dan keyakinan untuk meluncur laju tanpa perlu menekan brek difikirkan semula setiap kali melalui selekoh.

Bahkan penulis juga berasa kenderaan seakan berat ketika cuba meluncur pada kelajuan rendah dan sering kali ketika melalui lorong Smarttaq dengan kelajuan perlahan menggunakan transmisi manual Geartronic apabila gear turun kepada 3, pergerakan seakan berat dan dengan segera penulis terpaksa menggunakan gear 2 untuk jentera memberi tindak balas pantas.

Ia begitu berbeza dengan S60 yang begitu cepat bertindak dan ia mungkin kerana bentuk badan V60 yang lebar dan ruang dalaman yang besar.

Namun sekali anda memecut menggunakan penghantaran kuasa Powershift enam kelajuan dengan Geartronic ia cukup responsif dan kawalan stereng cukup bertindak balas.

Ruang kabin yang ditawarkan juga cukup selesa dan mewah dengan sistem audio yang menyenangkan. Walaupun boleh terdengar sedikit bunyi angin di luar, ia langsung tidak mengganggu anda. Tetapi agak pelik kerana S60 yang dipandu uji sebelum ini begitu senyap.

sumber : sinarharian

No comments: