Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 18 April 2012

Ugut bapa kerana tidak dapat duit yang diminta


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan, seorang buruh tergamak mengugut ayah kandungnya sendiri dengan sebilah pisau.

Kejadian berlaku di kediaman mereka di Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun, perbuatan Mohamd Roziemy Ismail, 32, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mengamuk dan melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan kecederaan kepada bapanya, Ismail Abdullah @ Abd Ghani Abdullah, 65, di rumah mereka pada 13 April lalu kira-kira jam 9 pagi.

Dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, bapa malang itu sedang berada di rumah dan secara tiba-tiba tertuduh mengamuk dengan mengacukan pisau ke arah bapanya, kerana bengang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.

Tidak puas dengan itu, tertuduh turut bertindak ganas dengan merosakkan barang-barang di dalam rumah mereka.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 16 April lalu kira-kira jam 5 petang.

sumber : sinarharian

No comments: