Partime Job

Thursday 19 April 2012

Tiga sekawan selamba curi simen

KUALA TERENGGANU- Berperwatakan selamba bagi mengaburi mata masyarakat sekeliling, tiga sekawan kemudiannya bertindak mencuri lima beg simen milik seorang peniaga makanan haiwan di Chendering, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 20-an telah datang ke kedai terbabit dengan menaiki Perodua Kancil berwarna putih sebelum salah seorang daripadanya dengan selamba mengangkut simen yang diletakkan di depan kedai lalu dimasukkan ke dalam kereta.

Disebabkan perwata-kan mereka yang langsung tidak menimbulkan kecurigaan menyebabkan orang ramai termasuk jiran mangsa terbabit hanya memerhatikan sahaja perbuatan itu tanpa syak.

Sebelum itu, mangsa yang berusia awal 50-an itu baru sahaja menutup premisnya buat sementara waktu untuk keluar makan tengah hari iaitu kira-kira setengah jam sebelum kejadian.

Mungkin tidak menyangka simen bernilai RM95 yang baru dibeli untuk digunakan membaik pulih premisnya turut menjadi ‘perhatian’, mangsa hanya membiarkan sahaja di hadapan kedainya.

Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari simennya dikebas kira-kira jam 3 petang setelah curiga dengan pertanyaan jirannya yang menghubungi untuk bertanyakan mengapa mangsa menyuruh beberapa orang mengangkut simennya.

Setelah yakin simen itu dicuri, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering pada hari kejadian kira-kira jam 6 petang.

Susulan laporan dibuat, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan di Marang pada keesokan harinya iaitu kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima laporan dan tangkapan yang dibuat.

sumber : sinarharian

No comments: