Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 4 April 2012

Tidak sempat guna motosikal roda tiga


RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang baru pulang menerima bantuan motosikal roda tiga di bawah skim 1Azam Niaga tidak sempat menggunakan kenderaan tersebut apabila terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Simpang Tiga, Kampung Bagus, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Wahab Deraman, 40, dikatakan gagal mengawal kenderaannya hingga menyebabkannya bertembung dengan pacuan empat roda di atas jambatan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Berikutan kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang kepala dan patah tangan kiri sementara pemandu dan penumpang pacuan empat roda dari Golok, Thailand ke Kota Bharu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu menyebabkan tempat barang motosikal itu rosak teruk manakala pacuan empat roda pecah cermin hadapan serta remuk pada bahagian pemandu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Lati, Affendi Mukhtar berkata, pada hari kejadian mangsa dihubungi Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang , Datuk Abdullah Mat Yasim supaya ke kediamannya untuk menerima motosikal roda tiga kerana permohonannya diluluskan.

Menurutnya, Wahab memberitahu ketika itu dia sedang berniaga dan memaklumkan akan segera ke kediaman Abdullah.

“Selepas Wahab tiba, Abdullah menyerahkan kenderaan itu bersama seorang penerima lain. Wahab tidak mencubanya sebaliknya saya menunggangnya di sekitar kediaman Ketua Umno dan tidak yakin dapat mengendalikannya kerana agak berbeza dengan motosikal biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Affendi berkata, mangsa terus menunggang motosikalnya pulang selepas penyerahan dibuat Abdullah, dan dia sempat berpesan kepada mangsa supaya menunggang dengan berhati-hati kerana bimbangkan keselamatannya walau pun nampak dia begitu yakin.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima berita dia terlibat kemalangan,” katanya.

Mangsa yang berdepan kecederaan serius pada kepala itu dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang sebeluma dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia tidak menyangka Wahab terlibat kemalangan seterusnya membantut hasratnya membesarkan lagi perniagaan kecil-kecilan yang dilakukannya selama ini.

sumber : sinarharian

No comments: