Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Batal pasang jeti terapung


KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membatalkan cadangan untuk memasang sebuah jeti terapung (ponton) yang menggunakan teknologi Korea di Jeti Dataran Shahbandar, di sini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, ia berikutan Kerajaan Negeri bercadang untuk menambak kawasan berkenaan.

Menurutnya, MBKT telah diarahkan membatalkan cadangan memasang ponton bernilai RM200,000 itu kerana Kerajaan Negeri ingin menambak kawasan itu terlebih dahulu, bagi mengatasi masalah air sungai cetek.

“Kerja pemasangan jeti terapung itu tidak dapat diteruskan seperti dirancang kerana Kerajaan Negeri mahu menambak kawasan kawasan berkenaan sepanjang kira-kira 300 meter terlebih dahulu, sebelum membina jeti lain yang lebih baik.

“Ia difikirkan jalan terbaik dan sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesukaran bot penambang berlabuh di kawasan berkenaan, terutamanya ketika air sungai cetek,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan cawangan baru Tutti Frutti Kuala Terengganu, di sini, kelmarin.

Menurut beliau, buat masa sekarang, MBKT hanya akan menjalankan kerja membaiki jeti kayu yang sudah uzur kerana kawasan jeti itu cetek dan berbatu hingga menyukarkan laluan bot penambang yang berulang alik dari jeti berhampiran Pasar Besar Kedai Payang ke Seberang Takir.

Sebelum ini, media melaporkan cadangan MBKT yang ingin memasang sebuah jeti terapung yang pertama seumpamanya di negara ini, menggunakan teknologi Korea di Dataran Shahbandar di sini, untuk kemudahan bot penambang berlabuh pada bila-bila masa tanpa dibataskan keadaan pasang surut laut.

Ponton itu juga dijangka akan menjadi tarikan pelancong ke negeri ini untuk merasai sendiri pengalaman menaiki bot penambang merentasi Sungai Terengganu, sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna tetap yang kini terpaksa menggunakan jeti sementara serba daif dan berbahaya di situ.

sumber : sinarharian

No comments: