Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 13 April 2012

Tidak mengaku bunuh rakan


KUALA ROMPIN - Mahkamah Majistret Rompin memindahkan kes seorang nelayan warga Myanmar yang dituduh membunuh rakan senegaranya, Soe Myint, 30-an ke Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam.

Majistret, Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas Pendakwa Raya, Yong Suk Hui memperoleh izin mengikut Seksyen 117A(1) Kanun Acara Jenayah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi dibicarakan.

Tertuduh yang tidak boleh bertutur dan memahami Bahasa Melayu hanya mampu tunduk dan mengangguk tanda setuju selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa, Amin Ahmad.

Dalam sebutan kes itu ­sebelum ini, tertuduh, Ba Than, 30, mengaku tidak bersalah membunuh rakannya dan meminta kes itu dibicarakan menggunakan khidmat guaman yang disediakan kerajaan.

Ba Than dituduh melakukan perbuatan itu bersama dua lagi abangnya, Khin Teng Meong, 42, dan Khin Tin Win, 30, pada 20 November tahun lalu di Jalan Ladang Kelapa Sawit, Jalan Kampung Kasing, Pianggu.

Bagaimanapun sehingga kini, kedua-dua abangnya gagal diheret ke muka pengadilan selepas gagal dikesan, dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.

Ba Than dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sinar Harian pada 20 November tahun lalu melaporkan seorang lelaki warganegara Myanmar dibunuh kejam oleh rakannya selepas masing-masing meneguk minuman keras di sebuah rumah kongsi yang dihuni salah seorang suspek.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku apabila sekumpulan lelaki mengejar seorang lelaki dipercayai rakan mereka menggunakan parang di sebuah jalan ladang.

Mangsa dipercayai maut selepas salah seorang suspek menghunus parang di sebelah bahu kanan mangsa, sebelum seorang lagi rakan suspek melibas menggunakan senjata yang sama pada bahagian badan mangsa.

Mangsa disahkan maut selepas mengalami pendarahan teruk pada anggota badan.

sumber : sinarharian

No comments: