Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 13 April 2012

Pesakit asma tuntut hospital beri pampasan


PARIT BUNTAR – Pesakit Asma, Abdul Rahman Harun, 42 mendakwa kotak suaranya gagal berfungsi selepas menerima rawatan selama lapan hari dalam unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di utara tanah air, Januari lalu.

Isterinya, Salasiah Sabran, 49 berkata, Abdul Rahman merasa rimas kerana terpaksa berkata-kata tanpa suara dan menuntut pampasan daripada hospital berkenaan.

Menurut Salasiah, suaminya boleh bercakap seperti manusia normal sebelum dimasukkan ke wad ICU hospital berkenaan.

“Keadaan ini menyukarkan saya dan suami untuk berkomunikasi dan kami mohon hospital berkenaan memberi pampasan untuk kerugian ini.

“Pampasan yang dituntut daripada pihak hospital berkenaan juga bagi membolehkan suami saya menjalani rawatan untuk mendapatkan semula suaranya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Salasiah, maklumat daripada hospital berkenaan mengatakan Abdul Rahman akan mendapat kembali suaranya selepas menjalani rawatan pakar di Kuala Lumpur.

“Kami dimaklumkan yang suami saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh sembilan bulan selepas menjalani rawatan dengan pakar yang dimaksudkan.

“Atas nasihat rakan-rakannya, suami saya telah membuat laporan polis bagi mengesahkan kejadian ini di Balai Polis Kuala Kurau pada Isnin lalu,” katanya.

Salasiah memaklumkan, Abdul Rahman merupakan pekerja di sebuah kilang di Nibong Tebal, Pulau Pinag dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM1,000.

Katanya, pendapatan itu hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga termasuk tiga anak yang masih belajar di peringkat sekolah menengah, di sini.

“Dengan pendapatan suami saya yang tidak seberapa serta tanggungannya, agak mustahil bagi dia mendapatkan rawatan pakar di Kuala Lumpur.

“Kami berterima kasih kepada Baitulmal atas bantuan RM200 sebulan yang boleh menampung kos rawatan suami saya,” katanya.

Sinar Harian cuba menghubungi hospital berkenaan untuk mendapatkan maklum balas tetapi gagal.

sumber : sinarharian

No comments: