Partime Job

Monday 2 April 2012

Terpaksa buang sampah sendiri


RAWANG – Masalah sampah yang kritikal bukan hanya menyakitkan mata tetapi menimbulkan bau busuk yang mengganggu aktiviti harian menyebabkan seorang penduduk Taman Tun Teja, Alias Bamin mengambil inisiatif membersihkannya sendiri.

Alias berkata, rumahnya yang terlalu hampir dengan premis perniagaan menyebabkan belakang rumahnya menjadi kawasan longgokan sampah industri.

Menurutnya, tertekan dengan masalah bau dan longgokan sampah menyebabkan dia menyewa sendiri lori dan mengangkut sampah untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah di Kuang.

“Penat buat aduan tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Aktiviti harian juga terganggu apabila sampah yang terlalu hampir dengan rumah mengeluarkan bau busuk yang kuat sehingga kami sekeluarga hilang selera makan, tidur tidak lena dan emosi terganggu.

“Sabtu lalu, saya bertindak membuang sampah tersebut dan tidak sampai beberapa hari, masalah itu kembali semula apabila kontraktor dilantik tidak menjalankan tugas mengutip sampah berkenaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ali Anipal yang berniaga di medan selera di sini berkata, peniaga tiada tempat untuk mengumpulkan sampah dan sengaja membuat longgokan sampah berhampiran tepi jalan dengan harapan kontraktor sampah mengangkutnya.

“Dah empat hari longgokan itu tidak dibersihkan bukan hanya semakin membukit, tetapi turut memberi kesan kepada sebuah rumah tempat penjagaan kanak-kanak kerana terlalu hampir kawasan pembuangan itu.

“Peniaga tiada tempat lain untuk meletakkan sampah apabila sampah di hadapan kedai yang sebelum ini setiap hari dikutip telah beberapa hari dibiarkan dikerumuni lalat dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Menurutnya, permasalahan sampah ini perlu ditangani segera memandangkan keadaan terbabit amat mengganggu ketenteraman penduduk.

“Selain mengganggu ketenteraman penduduk, kami juga bimbang sekiranya kewujudan anjing liar akan meningkat sekali gus mengancam keselamatan kami,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: