Partime Job

Monday 16 April 2012

Tengkorak hancur, rusuk patah


HULU BERNAM - Polis mengesahkan kematian seorang bayi lelaki berusia dua minggu yang didakwa dipijak bapanya disebabkan keretakan tengkorak dan patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affandi berkata, hasil bedah siasat mendapati keretakan tengkorak bayi itu dipercayai akibat dihentak pada dinding, manakala tulang rusuk patah, berkemungkinan dipijak.

“Menurut doktor pakar Patalogi Hospital Ipoh, tengkorak bayi terbabit retak dan hancur. Doktor juga telah mengeluarkan enam kepingan cebisan tengkorak kepala yang sudah hancur.

“Satu tulang rusuk bayi itu juga patah, namun tiada kecederaan luaran berlaku. Doktor mengesahkan ada unsur jenayah dan berdasarkan kecederaan pada bayi itu mereka tidak menolak kemungkinan ia dipijak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Norel berkata, kejadian itu berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 1.30 pagi di rumah mangsa di Taman Bernam Jaya di sini.

Menurut beliau, ketika kejadian mangsa bersama ibunya dipercayai tidur sebelum dikejutkan kehadiran suspek dalam keadaan mabuk.

Katanya, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu apabila suspek mengatakan bayi tersebut bukan anak kandungnya.

“Saksi utama iaitu ibu mangsa berusia 32 tahun mengakui suspek yang merupakan suaminya berusia 41 tahun, telah menolak bayi mereka yang berada di dalam buaian ke dinding dengan kuat.

“Tindakan itu, kata Puspa, dilakukan ketika suspek dalam keadaan mabuk dan marah serta bertindak sedemikian kerana mengatakan bayi itu bukan anak kandungnya,” katanya.

Menurutnya, kejadian turut disaksikan seorang anak perempuan pasangan itu, yang berusia 15 tahun, sebelum memanggil bapa saudaranya, K Rajendran, 32, bagi meleraikan pertengkaran tersebut.

Menurutnya, Rajendran cuba meleraikan pertengkaran itu dengan memukul suspek menggunakan mangga besi kerana suspek ketika itu memegang parang.

“Polis menangkap suspek atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh anaknya & 324 kanun sama kerana mencederakan adik iparnya, Rajendran. Polis juga menahan Rajendran untuk membantu siasatan.

Norel berkata, siasatan kes itu masih diteruskan sementara isteri dan anak perempuan suspek dijadikan saksi utama kes.

Sementara itu, difahamkan kedua-dua individu berkenaan dikenakan tahanan reman seminggu.

sumber : sinarharian

No comments: