Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 4 April 2012

Soda diet bantu cegah batu karang?


Dr Mike Adams, pakar pemakanan holistik terkemuka menyifatkan Journal of Urology sebagai ‘jurnal paling terencat akal’ bagi 2010. Anda ingin tahu mengapa? Ini berikutan apabila jurnal tersebut menerbitkan sebuah artikel (diterbitkan atas talian pada 19 April 2010) yang menyarankan agar orang ramai mengambil soda diet sebagai agen berkesan bagi mengelak atau memecahkan batu karang.

Kajian diketuai Pakar Urologi dari Massachusetts General Hospital di Boston, Dr Brian H Eisner menunjukkan betapa beliau dan pasukan penyelidiknya tidak ambil peduli langsung mengenai ketoksikan bahan yang terdapat dalam soda diet. Menurut artikel Dr Mike Adams dalam Naturalnews.com, Dr Brian jelas kurang mahir mengenai pemakanan manusia dan ketoksikan aspartame.

Batu karang dikatakan antara penyakit yang amat menyakitkan penghidapnya. Wanita yang pernah mengalaminya biasanya menyatakan ia lebih menyakitkan berbanding ketika melahirkan bayi. Sakit berpunca daripada batu karang biasanya muncul secara tiba-tiba dan sesetengah orang terpaksa dihantar ke hospital bahagian kecemasan.

Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi bahan pembentuk kristal termasuk kalsium, asid urik dan sejenis sebatian dikenali sebagai oxalate. Baru karang yang terbentuk biasanya terdiri daripada saiz butiran pasir atau lebih kecil daripada itu. Walaupun bersaiz kecil, apabila ia terbentuk dan tersangkut pada organ sistem urinari ia menyebabkan kesakitan yang tidak terperi.

Penulis pernah melihat batu karang bersaiz besar sebesar hujung jari kelengkeng yang dikeluarkan daripada pundi kencing seorang pesakit. Ia kelihatan seperti kerangan laut di mana permukaan luarnya tajam berduri. Jadi sifat fizikalnya yang sedemikian memang amat menyakitkan penghidap kerana durinya mencucuk bahagian dalam pundi kencing sepanjang masa.


Limau nipis dan minyak zaitun

Antara cara mudah untuk meredakan sakit berpunca daripada batu karang ialah minum air limau nipis sebaik-baiknya tanpa gula. Perah sebiji limau nipis tua ke dalam secawan air mineral dan minum sukatan yang sama tiga hingga kali sehari.

Untuk nyahkan batu karang, boleh digabungkan dengan minyak zaitun. Caranya ialah ambil sesudu besar air perahan limau nipis dan sesudu besar minyak zaitun dengan empat cawan air. Mereka yang mengamalkannya melaporkan biasanya batu karang akan keluar bersama air kencing beberapa jam selepas mengambil bahan tersebut.

Sitrat dikatakan berupaya melarutkan batu karang dan minyak zaitun pula dipercayai berfungsi sebagai pelincir. Rakyat di Malaysia dan Asia Tenggara biasa minum air limau nipis. Penduduk di negara hemisfera utara pula biasa mengambil lemoned iaitu air minuman mengandungi perahan lemon segar.

Penggunaan lemoned secara tradisional inilah yang mencetus idea Dr Eisner menjalankan kajian ke atas beberapa jenis soda diet bagi mencegah pembentukan batu karang. Dalam kajiannya, Dr Eisner memilih soda diet berbanding soda berwarna gelap kerana soda diet mengandungi peratusan sitrat yang lebih tinggi dan kurang kalori.

Soda diet tidak mengandungi gula (sirap jagung tinggi fruktos, SJTF). Aspartame yang tidak berkalori digunakan bagi menggantikan SJTF. Faktor inilah yang menyebabkan soda diet rendah/tanpa kalori. Dr Eisner mendapati kandungan sitrat dalam soda diet jenama Diet Sunkist® Orange, Diet 7Up®, Sprite Zero™, Diet Canada Dry® Ginger Ale, Sierra Mist® Free, Diet Orange Crush®, Fresca® dan Diet Mountain Dew® adalah menyamai atau lebih tinggi dari minuman lemoned.


Utamakan kemaslahatan manusia

Sebahagian doktor, pakar pemakanan konvensional atau wartawan yang membaca laporan Dr Eisner ini mungkin mencadangkan soda diet kaya sitrat bagi tujuan memecahkan atau mencegah batu karang. Namun, sesiapa pun mereka fikirlah banyak kali sebelum mencadangkan kepada orang ramai.

Dr Eisner berandaian bahawa jika lemoned yang kaya sitrat mampu memecahkan batu karang maka sudah tentu soda diet kaya sitrat juga mampu melakukan tugas yang sama.

Lemoned atau air limau nipis adalah dari buah-buahan sitrus semula jadi. Sebaliknya, soda diet ialah minuman yang mengandungi pelbagai bahan yang tidak semula jadi dan dikategorikan minuman terproses. Pengambilan minuman tersebut dikatakan menjejaskan kesihatan tubuh untuk jangka panjang. Manakala lemoned (paling baik tanpa gula) membawa kebaikan kepada tubuh.

Jika soda diet kaya sitrat disarankan sebagai alternatif menggantikan lemoned atau limau nipis bertujuan memecahkan batu karang, maka saranan ini sama sahaja jika kita menyarankan minum air berperisa buah-buahan tiruan sebagai alternatif jus buah-buahan asli bertujuan mencegah kanser! Ia juga sama sahaja dengan menyarankan penghidap demam denggi minum isotonik sebagai alternatif air kelapa.


Saranan lucu

Dalam Reuters Hyperlink, http://www.reuters.com/article/idUSTRE64D4HO20100514 (14 Mei 2010), Dr Eisner tidak mencadangkan orang ramai yang mengalami batu karang agar ‘berlari mendapatkan soda diet’. Namun begitu lihat kenyataan beliau seterusnya. Pesakit biasanya dinasihatkan minum dua hingga tiga liter air atau minuman lain dalam sehari.

Berkaitan keperluan ini, Dr Eisner berkata, “Jika minum soda (jenis diet) membantu mereka mencapai tujuan tersebut maka ia merupakan perkara yang baik.” Kelakar. Beliau menasihatkan penghidap batu karang agar tidak tergesa-gesa mendapat soda diet. Pada masa sama beliau menyarankan ia sebagai sumber air minuman yang baik. Itulah sebabnya Dr Mike Adams menyifatkan Dr Eisner dan pasukan penyelidiknya tidak peduli langsung atau tidak tahu apa-apa mengenai ilmu pemakanan!

Penulis tidak nampak Journal of Urology akan menyiarkan kajian berkaitan keupayaan cuka epal, cuka kurma, daun pecah beling (atau pecah kaca) dan pokok dukung anak dalam mencegah dan memecahkan batu karang.

Mungkinkah kerana saintis peneliti Journal of Urology mendapati soda diet tinggi sitrat memiliki nilai saintifik tetapi bahan kurniaan ALLAH secara semula jadi seperti disebutkan tidak memiliki sebarang nilai?

sumber : sinarharian

No comments: