Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 4 April 2012

Evolusi kad kahwin ikut trendv


Orang dulu-dulu mudah. Pemberitahuan sesuatu majlis hanyalah melalui kaedah mulut ke mulut. Namun begitu, kaedah itu sangat berkesan di samping membantu mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga.

Jika mahu menggunakan kad undangan, ia hanyalah menggunakan kertas A4 dan kemudian di fotostat dengan banyak walaupun pada ketika itu, kosnya sangat mahal. Seiring dengan perubahan zaman, proses percetakan juga mengalami perubahannya. Dari kad undangan perkahwinan yang hanya menggunakan kertas A4, ia terus bertukar kepada kad berbau harum, mahupun diperbuat daripada kertas keras (hard cover).

Kini, selaras dengan perkembangan teknologi, kad undangan perkahwinan turut berubah 360 darjah. Penggunaan laman sosial seperti facebook dan twitter memudahkan untuk pemberitahuan mengenai majlis yang bakal diadakan.

Walau bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh pemilik sebuah syarikat percetakan dan pembuat kad perkahwinan, Memory Forever Entreprise, Y.K Lee. Beliau berpendapat kad undangan perkahwinan ialah perkara penting yang harus diutamakan sebelum sesuatu majlis perkahwinan itu diadakan. Baginya, kad undangan perkahwinan ialah pandangan pertama sebelum berlangsungnya hari bersejarah bagi sesuatu pasangan.

“Kad kahwin adalah perkara pertama yang dilihat oleh tetamu sebelum hadir ke sesuatu majlis. Jadi ia perlulah menampakkan keikhlasan pihak yang mengundang, bukannya dibuat dengan sambil lewa atau tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui di Festival Kerja Kahwin 2012 di Shah Alam, baru-baru ini.

Walaupun begitu, beliau mengakui individu pada masa kini mempunyai ramai rakan dari serata pelosok negara seterusnya merasakan hebahan majlis perkahwinan melalui laman sosial adalah relevan.

“Kini peluang individu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi mudah, seterusnya menyebabkan mereka berkesempatan untuk menambahkan kenalan. Apabila berjauhan hingga ke luar negara, kaedah menggunakan laman sosial adalah paling tepat,” katanya.

Namun begitu, menurutnya, penggunaan laman sosial ini biasanya hanya dilakukan pasangan muda yang hendak melangsungkan perkahwinan kerana ia sangat mudah.

“Manakala golongan ibu bapa masih lagi bersandarkan kepada kad undangan perkahwinan bagi menjemput rakan taulan atau saudara mara,” katanya.


Evolusi baru

Y.K Lee yang berkecimpung dalam bidang kad perkahwinan hampir 10 tahun berkata, kad undangan perkahwinan kini sedang mengalami satu evolusi baru.

“Sebelum ini, kad undangan perkahwinan tidak mempunyai banyak pilihan, namun ia berubah sejak lima tahun kebelakangan ini,” katanya.

Jika dahulu kebanyakan kad undangan perkahwinan bercorak motif bunga-bungaan, tetapi kini ia sudah boleh didapati dalam pelbagai motif seperti kartun.

“Sudahlah rekaannya terhad, harganya pula melambung tinggi,” katanya sambil memberitahu syarikatnya itu menganggap kad undangan perkahwinan sebagai satu fesyen.

Tambahnya lagi, dalam zaman kemajuan internet kini, pelbagai jenis kad undangan perkahwinan impian boleh dicari.

“Trend terkini adalah pelanggan lebih memilih kad kahwin impian mengikut bajet yang ditetapkan. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, harga yang boleh diperoleh kini tiga kali ganda lebih murah,” jelasnya.

Jika dahulu, pelanggan lebih gemar ‘terbang’ ke Indonesia bagi mencari kad undangan perkahwinan jenis kertas keras dan Thailand bagi yang berbau wangi tetapi kini sebaliknya.

“Pengusaha kad undangan perkahwinan dari sana pula yang lebih banyak mengikut konsep dari negara kita. Mungkin kita sendiri pun sedang melalui satu perubahan baru dan kena pada harganya,” jelas Lee.

Beliau berkata, ini terjadi disebabkan Malaysia kini mempunyai begitu banyak pilihan terhadap kad undangan perkahwinan melalui pelbagai idea, corak, reka bentuk dan kemasan.


Kad kahwin satu fesyen

Lee berkata, Memory Forever Entreprise menganggap kad undangan perkahwinan sebagai satu fesyen, pihaknya menyediakan pereka grafik yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi.

“Kami mementingkan kepuasan pelanggan selain memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya sambil memberitahu bahawa pelanggannya boleh menjangkau sehingga 200 orang ketika mengadakan pameran.

Kad undangan perkahwinan perlu ditempah dalam masa tiga bulan sebelum majlis berlangsung supaya semua kad dapat diedarkan kepada tetamu.

Menurutnya, masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu tempahan bergantung kepada reka bentuk, corak dan kemasan yang diminta oleh pelanggan.

“Apabila pelanggan datang ke kedai, kami akan berbincang bersama sebelum mereka dinasihatkan untuk kembali melihat draf yang telah siap direka,” katanya.

Namun begitu, kebanyakan pelanggannya lebih mudah untuk memilih mengikut contoh kad yang disediakan pihaknya bagi mengelakkan daripada terus membuang masa.

Memory Forever Entreprise turut menawarkan dua pakej istimewa yang berharga RM870 dan RM1070 tetapi berkuat kuasa sekiranya dilakukan di mana-mana pameran atau festival sahaja.

“Kami sebagai pembuat kad kahwin menawarkan pelanggan dengan pelbagai corak pilihan dan ia sangat menjimatkan masa,” katanya sambil mengharapkan agar industri ini akan terus berkembang pada masa hadapan.

sumber : sinarharian

No comments: