Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Sakit lepas bedah tulang belakang


Pada September 2010 saya mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat bertugas. Laporan MRI dari hospital mendapati tulang belakang saya mengalami keretakan di bahagian T5&T6 lalu pembedahan dilakukan untuk memasukkan besi ke bahagian tulang tersebut.

Doktor menyatakan bahawa saya mungkin lumpuh separuh badan namun setelah pelbagai usaha dilakukan dan dengan izin ALLAH, saya dapat menggerakkan kaki dalam tempoh sebulan dari tarikh pembedahan. Malah saya mampu ke sekolah dengan memandu kereta sendiri walaupun terpaksa menggunakan dua tongkat untuk berjalan.

Masalahnya sekarang;

Kaki saya sentiasa rasa sakit sama ada ketika dalam keadaan rehat mahu pun berjalan. Biasanya rasa sakit itu sedikit saja dan dapat bertahan tapi kadang-kadang ia boleh jadi amat sakit hingga semua jenis pain killer tidak memberi kesan. Sakitnya terasa seperti mencucuk-cucuk dan kadang-kadang seperti panas. Sakit lebih terasa jika berdiri. Ia melibatkan kedua-dua kaki dari paha hingga ke betis, depan dan belakang.

Otot-otot kaki saya sakit bila diurut, ditekan atau dicubit.

Kadangkala berlaku kekejangan belakang badan yang menjalar ke bahagian kaki. Bagaimanapun kekejangan akan hilang setelah berdiri dalam tempoh setengah minit .
Kaki masih kebas.

Pertanyaan saya, adakah kaedah suntikan radiofrequency dapat mengurangkan kesakitan ini? Adakah ia melibatkan pembedahan dan di mana saya boleh berjumpa dengan doktor. Adakah di HUSM atau di Hospital Pakar Perdana ,Kota Bharu? Kalau boleh saya ingin berubat dengan doktor pada cuti semester, Mei nanti.

Sekian terima kasih.
Muhammad,
Kota Kinabalu, Sabah.

Jawapan Dr Nizar:

Sakit kronik yang tidak berkesudahan selepas menjalani pembedahan tulang belakang memang sering berlaku. Keadaan anda dikenali sebagai sindrom kegagalan pembedahan tulang belakang (failed back surgery syndrome) yang biasanya berlaku tiga hingga enam bulan selepas pembedahan. Insiden komplikasi ini adalah antara 10 hingga 40 peratus daripada semua kes pembedahan tulang belakang. Keadaan pesakit amat malang kerana rawatan yang sepatutnya menyembuhkan membawa kepada masalah lebih besar.

Dalam situasi lebih serius, kelumpuhan mungkin sebahagian daripada gejala utama selain rasa sakit. Selepas pembedahan rasa sakit mungkin tidak berubah (karakter dan tempatnya) cuma kekuatan sakit mungkin jadi lebih teruk. Banyak juga kes yang mengalami sakit berlainan dan pada tempat berlainan sama ada di belakang atau sepanjang kaki. Ada juga pesakit saya mengalami sakit pada tapak kaki selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

Ada banyak punca menyebabkan kesakitan selepas pembedahan yang tidak berkesudahan. Diagnosis mungkin berbeza antara individu yang mengalami sindrom ini (sila rujuk artikel saya pada keluaran lepas). Hanya dengan pemeriksaan, saya dapat pastikan punca kesakitan dan peratus kejayaan rawatan. Secara umum kebanyakan pesakit telah mendapat faedah daripada rawatan radiofrequency atau epidurolysis dan akhirnya mampu berfungsi atau bekerja semula tanpa perlu diberhentikan.

Menurut gejala yang diberikan, besar kemungkinan anda mengalami penyakit Chronic Regional Pain Syndrome (CRPS). Keadaan ini boleh berlaku selepas kecederaan berlaku pada tubuh badan termasuklah pembedahan. Biasanya ia mengambil masa lebih dari satu tahun untuk terjadi selepas tarikh kecederaan. CRPS adalah sejenis penyakit saraf autonomic sympathetic. Saraf ini dalam keadaan biasa (sihat) tidak akan memberi rasa sakit. Ia biasanya berfungsi dengan mengadaptasi ketika kita dalam keadaan beremosi seperti takut, marah dan seronok.

Ia juga berfungsi mengawal tekanan dan perjalanan darah di seluruh badan selain mengawal fungsi organ dalaman seperti jantung, usus, buah pinggang dan hati. Malangnya saraf ini boleh menjadi ‘musuh’ denganmemberi rasa sakit jika kecederaan pada tubuh badan dibiarkan berlarutan. Penyakit CRPS jarang berlaku tapi mempunyai gejala dan tanda-tanda klasik. Sesetengah doktor kurang arif tentang penyakit ini kerana gejala sakit dan tanda-tanda ketika pemeriksaan mudah menyebabkan mereka menjadi keliru dan susah untuk memahaminya.

Akibatnya diagnosis penyakit yang dibuat tersasar. Walaupun ada pesakit yang dirawat oleh pakar saraf atau ortopedik,mereka hanya mampu memberikan ubat untuk ditelan dengan peluang sembuh sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja. Hanya doktor pain specialist saja betul-betul pakar dalam penyakit ini hingga dapat mengenal pasti dan merawat dengan berkesan menggunakan kaedah tersendiri.

Rawatan suntikan Radiofrequency Lumbar Sympathectomy merupakan rawatan paling mujarab. Berdasarkan pengalaman saya, peratus kejayaan mampu mencapai 90 peratus. Malah pesakit akan merasakan kelegaan dalam beberapa minit sahaja selepas suntikan. Kelegaan ini berterusan dan jarang memerlukan suntikan susulan.

Ajaibkan? Caranya, suntikan radiofrequency dilakukan pada saraf autonomic sympathetic di sisi tulang belakang paras L2 dan L3 dengan menggunakan X-ray sebagai panduan. Ia boleh dilakukan hanya dalam 20 minit dan selamat jika dilakukan oleh doktor terlatih.

Rawatan ini juga boleh meningkatkan pengaliran darah ke kaki dan genitalia. Jadi orang yang mengalami masalah aliran darah tersumbat di kaki (kencing manis, burger’s disease) dan mati pucuk (erectile dysfunction) juga boleh dapat manfaat daripada rawatan Radiofrequency Lumbar Sympathectomy ini.

sumber : sinarharian

No comments: